• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Kerajaan Persekutuan Digesa Matang Dalam Mentadbir

KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Persekutuan digesa agar menunjukkan kematangan yang lebih tinggi dalam mentadbir negara, dengan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi pertikaian politik tidak berfaedah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, tindakan seperti membakar kelambu kerana nyamuk hanya akan membuang masa dan sumber yang boleh digunakan untuk perkara lebih penting.

"Kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi lebih matang dalam sektor mentadbir negara di mana fahaman politik perlulah diketepikan.

"Rakyat telah memilih dan hormatilah keputusan rakyat dan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 yang lepas juga iaitu di Kemaman, rakyat Terengganu telah menghantar isyarat jelas.

"Di mana rakyat telah memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintahan PAS di Terengganu khususnya dan Perikatan Nasional (PN) amnya bagi mentadbir negeri ini dengan Keputusan 40-0," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini.

Oleh itu, beliau berharap Kerajaan Negeri berusaha segala upaya untuk memastikan royalti minyak, iaitu hak rakyat, dikembalikan kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu.

"Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kerjasama yang erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan di peringkat negeri.

"Namun demi kepentingan rakyat dan kelancaran memacu kerancakan pembangunan negeri, permintaan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri dijadikan satu alasan kerjasama ini terganggu," katanya.

 Justeru itu, beliau menyeru agar hubungan dengan kerajaan pusat perlu diperkasakan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.


Tag: