• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Kerajaan Persekutuan Peralat Akta Laut Nafi Royalti Petroleum

KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Persekutuan dilihat telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia menjadi antara sebab Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini meluluskan usul menolak akta tersebut.

Jelasnya, akta berkenaan juga tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan. 

"Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja. 

"Sementara itu, Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Menurut beliau, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya. 

"Ini menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.

"Kerajaan Negeri merumuskan, penggubalan Akta ini adalah tidak mengikut perlembagaan dan telah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain," ujar beliau. 

Justeru tegas Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012.

Untuk rekod, negeri pengeluar minyak iaitu Sabah dan Kelantan turut menolak akta ini.