Kerajaan Tambah Baik Projek Melon Manis – Dr Azman

KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Kerajaan negeri akan menambah baik projek Melon Manis Terengganu (MMT) bagi menghasilkan kualiti terbaik disebabkan permintaan terhadap MMT makin meningkat. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, antara pembaharuan yang dilakukan ialah penggunaan teknologi terkini.

Katanya, rakyat perlu diberikan kefahaman tentang pemindahan teknologi kerana penggunaan teknologi baharu dalam sektor pertanian terutamanya penanaman melon manis bukan perkara asing.

"Antara usaha yang dibuat oleh Jabatan Pertanian untuk mencapai target 250 metrik tan adalah pemulihan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

"Hal ini kerana melon manis ini perlu ditanam dalam tempat yang tertutup (close system) menggunakan struktur pelindung hujan yang perlu melalui proses pemulihan.

“Oleh itu, kita nak kembangkan secara perkara ini secara berperingkat dan kalau kita lihat dalam kalangan peserta tadi, sebahagian besarnya adalah orang muda yang kebiasaaanya berpendidikan, bercita-cita dan sedia untuk belajar ilmu-ilmu baharu.

“Hal ini sebenarnya adalah satu kelebihan kepada kerajaan Negeri Terengganu apabila sektor pertanian ini banyak diceburi oleh orang muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika menghadiri Seminar Melon Manis Terengganu Tahun 2022 bertempat di Dewan Seri Kenari, Batu Buruk semalam.

Menurut Dr Azman, sehingga bulan Jun 2022, negeri Terengganu mengeluarkan sebanyak 100 tan metrik dgn nilai anggaran RM800 ribu.

Oleh itu katanya, nilaian Melon Manis Terengganu hampir mencecah  jutaan ringgit di pasaran luar dan dalam negara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof berkata, jumlah pengeluaran pada tahun ini mencapai 250 metrik tan namun ia masih belum mencukupi bagi menampung jumlah permintaan yang terus meningkat, sejak ia mula dipasarkan di 'hyper market dan 'supermarket' dalam negara.

"Jabatan Pertanian berusaha memperbanyakkan lagi usaha pengeluaran MMT dalam memastikan ia boleh mengeluarkan hasil yang banyak melalui 127 orang pengusaha yang ada di seluruh Terengganu,”  ujarnya.


Tag: