Kerajaan Tambah Tong Atasi Isu Longgokan Sampah
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan negeri sedang dan telah mengambil tindakan segera bagi mengatasai masalah longgokan sampah yang mencemari lokasi-lokasi tertentu terutamanya kawasan tumpuan ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata tindakan segelintir yang tidak bertanggungjawab membiarkan sampah sarap dan sisa makanan berlonggokan bukan perkara baru.
Justeru itu katanya, pihak kerajaan akan meningkatkan operasi penguatkuasaan di samping menambah bilangan tong sampah awam di lokasi tertentu termasuk perumahan awam dengan melihat kepada kepadatan penduduk.
"Turut dijalankan pemantauan bagi memastikan kontraktor yang dilantik memenuhi spesifikasi ditetapkan serta melakukan kekerapan dengan melakukan kutipan dua kali sehari.
“Kita juga akan melakukan kerja penyapuan di sekitar lima meter radius dari kawasan tong sampah serta memasang perangkap sampah di laluan khinzir dan anjing bagi memastikan tidak berlaku masalah berselerak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN BN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman, dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, semalam.
Dr Alias turut memohon kerjasama daripada orang ramai untuk tidak menyelongkar tong sampah kerana akan menyebabkan sampah bersepah dan menjadi faktor kelewatan operasi pembersihan.
“Ada yang berbuat demikian untuk mencari barang terpakai untuk dijual, orang ramai juga dinasihatkan agar mengumpulkan sampah yang ingin dibuang dalam beg plastik dahulu bagi memudahkan kutipan sampah dilakukani," katanya.
Mengulas isu sama yang ditularkan di media sosial, Dr Alias memberitahu ada isu yang sengaja dicetus bagi menimbulkan persepsi negatif bahawa kerajaan negeri ini hanya membiarkan sahaja perkara itu berlaku.
"Masalah yang diviral seolanya sampah bertimbun di seluruh negeri Terengganu sedangkan yang berlaku hanya di dua zon sahaja, apabila disensasikan ia mengambarkan suatu keadaan yang tidak sihat sedangkan negeri kita ini telah mendapat pengiktirafan diantara 10 Bandar Pelancong Bersih Asean di negara ini.
"Jadi kita kena tengok perkara yang berlaku ini bukan sepanjang masa ia berlaku sekali sekala sebagai masyarakat yang bertanggungjawab boleh sahaja melaporkan hal ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau dilaporkan sahaja kepada saya untuk diambil tindakan yang sewajrnya," tambahnya.