Kerajaan Tubuh Majlis Pakar Terengganu, Himpun Cendekiawan Tempatan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Negeri akan menubuhkan Majlis Pakar Terengganu (Terengganu Experts Council) bermula tahun depan bagi merealisasikan "Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera” menjelang tahun 2030.
Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai usaha menangani penghijrahan cendekiawan (brain drain) dan supaya dapat menggembleng kearifan tempatan (local wisdom),
"Kita akui di negeri Terengganu ini mempunyai ramai pakar-pakar dalam bidang yang berkait dengan pembangunan, ekonomi, sosio masyarakat , agama dan sebagainya yang bekerja di ruang masing-masing di universiti, bidang pendidikan dan secara individu termasuk orang yang dah bersara dengan kepakaran-kepakaran mereka.
"Sudah sampai waktunya, kita institusikan keberadaan dan kepakaran mereka dalam satu majlis yang mana kita boleh datang dan jemput untuk memberikan pandangan-pandangan untuk dilaksanakan di Terengganu selepas membuat pertimbangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pembentangan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri lagi, penubuhan majlis itu juga sebagai sebagai platform kepada anak Terengganu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang strategik untuk menyumbang bakti.