Kerjasama Awam-Swasta Bangunkan Kawasan Sekitar ECRL

KUALA TERENGGANU, 20 November – Kerajaan negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kerjasama awam-swasta bagi membangunkan kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar stesen East Coast Rail Link (ECRL).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan, malah mempercepatkan proses pembangunan demi manfaat rakyat dan ekonomi negeri.

Menurutnya, pelbagai projek telah dirangka dan dicadang bagi dilaksanakan pada tahun hadapan demi memastikan permasalahan dan keselesaan kehidupan rakyat lebih terjamin.

“Kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership, PPP) berfungsi sebagai platform untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak. 

“Dalam model ini, kerajaan akan menyediakan tanah atau insentif seperti pengecualian cukai, manakala pihak swasta akan menyumbangkan modal, teknologi, dan kepakaran teknikal. 

“Pembahagian tanggungjawab dan risiko ini membolehkan pembangunan berjalan dengan lebih cekap tanpa membebankan kewangan kerajaan secara berlebihan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut Hanafiah, pembangunan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL juga akan membawa pelbagai manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri Terengganu dengan mengambil kira keperluan komuniti setempat dan kelestarian alam sekitar.

“Kawasan ini akan mengintegrasikan perumahan, perniagaan, dan kemudahan pengangkutan awam, sekali gus memudahkan penduduk setempat untuk bergerak dan menjalankan aktiviti harian. 

“Pada masa yang sama, pembangunan ini juga mampu meningkatkan nilai hartanah, menarik pelaburan asing, dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, terutama golongan belia,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerjasama  awam-swasta untuk membangunkan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL mencerminkan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri maju dan mesra pelabur. 

Dalam masa sama,  peluang daripada projek berskala besar seperti ECRL, negeri dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan membawa perubahan positif kepada rakyat. 

“Saya berharap kerjasama ini adalah contoh terbaik bagaimana kerajaan dan sektor swasta boleh berganding bahu untuk membangunkan negeri demi kesejahteraan Bersama,” jelasnya.


Tag: