• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Kerjasama Dakwah Terengganu-Sarawak Diperkukuh

KUCHING, 1 Februari - Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Ehwal Agamanya (JHEAT) berhasrat menjalinkan hubungan erat dengan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bagi saling bertukar pandangan dan berkongsi idea dalam merangka strategi pemerkasaan dakwah demi kebaikan seluruh rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata hasil kunjunganya ke Sarawak beberapa pandangan dalam beberapa perkara berkaitan hal ehwal agama akan diberi perhatian secara khusus.

"Kita telah diberikan taklimat serta mendengar usaha yang dilakukan oleh kerajaan Sarawak dalam lawatan ke JAIS pada kali ini untuk dimanfaatkan diantaranya ialah pemerkasaan garis panduan berkait hal ehwal perubatan Islam.

"Selepas ini kita akan memperkasakan jawatankuasa pemantauan bagi pengamal perubatan Islam ini untuk peringkat negeri Terengganu agar rakyat mendapat rawatan daripada mereka yang benar-benar memiliki tauliah,bukan daripada mereka yang mengamalkan ajaran salah yang berselindung di sebalik nama.

"Insya-Alllah banyak perkara yang kita perolehi dan pelajari daripada kunjungan pada kali ini, dari sudut pemerkasaan dakwah kita boleh ambil dan pelajari dari pengalaman yang mereka ada, Sarawak ini dari sudut dakwah agak unik serta mencabar," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Majlis Islam Sarawak, di sini, pada semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin dan Pengarah Jabatan Mufti, Mual Suaud.

Dalam pada itu, Misnu mewakili kerajaan Sarawak menyambut baik kedatangaan kerajaan Terengganu serta mengalu-alukan delegasi negeri itu dalam membuka ruang serta kerjasama yang lebih erat dua belah pihak.

 

"Saya beranggapan bahawa ia merupakan satu penghargaan, banyak perkara yang telah dibincangkan dan ini merupakan satu usaha untuk mewujudkan ruang kerjasama di mana banyak perkara akan dilakukan pada masa akan datang.

"Terutama daripada segi pendidikan di negeri Terengganu kita dapati ia lebih maju dari sudut berkenaan mungkin kerajaan Terengganu akan dapat membantu kita dalam memberikan pandangan serta idea yang baik untuk kita laksanakan di sini," katanya.

Berkongsi mengenai hala tuju pada masa akan datang katannya, MAIS mempunyai hala tujunya yang tersendiri menjelang 2030 dalam memperkasakan ummah di negeri terbabit.

"Dalam usaha mengembangkan dakwah, apa yang kita tekankan adalah dengan meningkatkan kefahaman umat Islam, walaupun hanya minoriti namun kita akan berusaha memperkasakan mereka agar menjadi lebih berkualiti.

"Dalam memastikan usaha dakwah sentiasa mekar dan subur, kita mempunyai jawatankuasa penyelarasan dakwah, umpamanya Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH),serta badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang sentiasa berusaha menyebarkan Islam di negeri ini terutamanya di kawasan pedalaman dengan gerakan bersepadu," katanya.

Dalam pada itu pihaknya juga turut berharap agar kerajaan Terengganu turut membantu dalam mengerakkan dakwah di negeri tersebut, agar lebih efektif dan ramai rakyat di negeri itu akan mendekati Islam.

 


Tag: