Jalur Gemilang
Berita :
Kes Bayi Meninggal Dunia Di Taska: Bapa Mohon Siasatan Lanjut
Kes Bayi Meninggal Dunia Di Taska: Bapa Mohon Siasatan Lanjut
Muhammad Amiruddin Zamri
17 jam yang lepas
31

DUNGUN, 18 September - Bapa kepada bayi perempuan berusia empat bulan yang meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, pada 7 September lalu, menuntut siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi mendapatkan keadilan buat anaknya.

Mohamad Hazrin Kadir, 31, berkata beliau terkilan kerana hampir dua minggu selepas kejadian, keluarganya masih belum menerima penjelasan yang jelas berhubung punca kematian anak bongsunya, Nur Helena Safya Mohamad Hazrin.

Katanya, susulan itu beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun hari ini bagi memohon pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian berkenaan.

“Buat masa sekarang ini saya memang mahukan keadilan. Kami mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada anak kami dan berharap siasatan dapat dijalankan dengan telus,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis.

Menurutnya, perkara itu amat mengecewakan kerana ketika dihantar oleh isterinya, Nurul Sahuda Rusli, 30, ke taska berkenaan pada pagi hari kejadian, keadaan arwah anaknya sihat seperti biasa.

“Kami hantar anak dalam keadaan sihat seperti biasa. Sebab itu kami sangat terkilan apabila mendapat tahu dia ditemui tidak sedarkan diri di taska sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Mohamad Hazrin berkata, keluarganya mahu siasatan turut meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kecuaian atau pengabaian sepanjang arwah berada di bawah jagaan pihak taska.
Katanya, pihak pengurusan taska perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kebajikan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.

“Kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. Jika terdapat unsur kecuaian atau pengabaian, kami berharap pihak yang bertanggungjawab dapat diambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Beliau serta keluarga turut berharap pihak berkaitan dapat memberikan penjelasan mengenai kejadian itu bagi membolehkan mereka mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kematian anaknya.

Mohamad Hazrin hadir membuat laporan polis bersama isterinya serta peguam, Mohd Hazwan Hamidun dan Alif Danial Ahmad Shahfulnizam.

Nur Helena Safya merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan dilaporkan meninggal dunia di Hospital Dungun kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 7 September lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika berada di taska berkenaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan