KEMAMAN, 19 September – Semangat perpaduan dan kecintaan terhadap negara terus disemarakkan menerusi penganjuran Larian Hari Malaysia 2026 DUN Kijal yang menghimpunkan lebih 2,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Razali Idris berkata, penganjuran program berkenaan bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September setiap tahun.

“Hari ini merupakan Hari Malaysia, sebab itu kita adakan Larian Hari Malaysia 2026.
“Tujuan kita mengadakan larian ini juga adalah bagi memupuk semangat dan bersatu padu, baik Melayu, Cina mahupun India yang ada di Kijal dan Terengganu secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program Larian Hari Malaysia 2026 di Kompleks Paya Lasir Kijal, baru-baru ini.

Menurut Razali, penganjuran aktiviti berasaskan sukan dan riadah seperti itu turut menjadi platform untuk menghimpunkan masyarakat tanpa mengira usia dan latar belakang dalam suasana yang sihat serta harmoni.
Beliau juga berkata, program larian seumpama itu akan diteruskan menerusi penganjuran Larian Monsun di Kijal pada 23 Oktober nanti.
“Saya difahamkan pada 23 Oktober ini akan diadakan program Larian Monsun dan kepada 1,000 peserta terawal akan mendapat baju percuma,” katanya.
Larian Hari Malaysia 2026 DUN Kijal dianjurkan dengan kerjasama Pejabat DUN Kijal, Kijal Gateh Club, dan Kijal Kalcer Runners (KKR).
Program berkenaan turut mendapat sokongan penaja menerusi Ayu Wafa Beauty, Dapur Kayu Catering, N-A Vita Fizz dan 100PLUS.