Ketengah Bantu Pekerja Ladang Terjejas Gempa Bumi Lombok


KEMAMAN -  Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan sebanyak RM88,500 bagi membantu seramai 177 pekerja Indonesia yang menjadi mangsa gempa bumi di Lombok, Indonesia dalam satu majlis semalam.

Majlis yang diadakan di Ladang Ketengah Jaya, Bandar Seri Bandi turut dihadiri oleh Pengurus Besar Ketengah , Omar Ismail dan majlis dimulakan dengan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan kaum keluarga pekerja yang terlibat dalam tragedi tersebut.

Menurut Omar, seramai 111 orang pekerja warga Lombok bekerja di ladang Ketengah Jaya,  seri bandi manakala 66 orang lagi  bekerja di Ladang Ketengah Perwira telah diberi bantuan sebanyak  sebanyak rm 500 seorang.

"Ini adalah sebagai menghargai jasa mereka bekerja dengan pihak kita  dan kita terpanggil untuk memberikan bantuan supaya meringankan beban mereka yang terjejas dengan bencana tersebut.

"Sumbangan yang diberikan adalah satu daripada tanggungjawab sosial koporat (CSR) pihak KETENGAH dalam membantu warganya yang dalam kesusahan dan kita turut merasai penderitaan yang dialami oleh keluarga pekerja yang terjejas dalam kejadian tersebut," katanya selepas ditemui pada majlis tersebut.

Omar menyampaikan bantuan kepada pekerja ladang yang berasal dari Lombok.
Menurut Omar, meskipun tinggal berjauhan dengan keluarga, pihaknya melihat setiap pekerja yang terlibat masih mempunyai semangat untuk bekerja meskipun tahu kediaman mereka ada yang musnah dalam kejadian itu.

Tambahnya, pihaknya akan memikirkan beberapa bantuan lain yang dianggap bersesuaian dalam usaha untuk membantu semua pekerja ladang yang terjejas dalam kejadian itu.

Pekerja ladang yang ditemui merasa syukur dan berterima kasih di atas bantuan yang diberikan kerana sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mereka untuk membaiki kerosakan kediaman yang dialami oleh keluarga mereka yang kini hanya tinggal di dalam khemah sementara dan rumah sanak saudara.

Bagi Mohamun Jonin , 25, kejadian gempa bumi tersebut telah menyebabkan isteri dan dua anaknya terpaksa tidur di dalam khemah kerana bimbang rumahnya itu akan runtuh kerana mengalami kerosakan yang teruk. .

"Terima kasih kepada pihak yang menyumbang dan duit yang saya terima ini boleh digunakan untuk membeli makanan kepada keluarga di kampung dan untuk membaiki  rumah yang rosak ," katanya.

Omar , ( lima dari kiri ) bergambar bersama semua penerima sumbangan.
Kejadian gempa bumi di Lombok pada 29 julai lalu telah mengorbankan seorang rakyat Malaysia serta 16 penduduk tempatan manakala 40 yang lain cedera dan gegaran yang kuat turut dirasai di seluruh wilayah dan Pulau Sumbawa.

Kejadian gempa bumi kedua pada 5 ogos yang berlaku di Lombok Timur telah mengorbankan seramai 381 orang manakala 1,033 orang mengalami kecederaan.


Tag: