Terengganu, Oman Meterai Perjanjian Kendali Industri Minyak, Gas
KUALA TERENGGANU, 7 Mac - Pasti ramai antara kita tidak pernah membayangkan betapa nikmatnya secangkir kopi kampung panas dapat dihirup di sebuah kedai kopi dengan suasana yang nostalgik.
Dan, duduk bersantai di situ tidak sempurna kiranya minuman yang anda nikmati itu tidak ‘digandingkan’ dengan sekeping roti bakar atau kuih muih tradisi.
Bagi mereka yang merindui suasana ini boleh berkunjung ke Kedai Kopi Buruk di Kampung Wakaf Beruas yang baru sahaja beroperasi sebulan yang lalu dan sekarang ini telah menjadi bualan warga Terengganu amnya.
Pemiliknya, Ahmad Zulhisyam Awang, 35, berkata dia bersama adiknya, Asraff Awang, 29, sudah lama bercita-cita untuk membuka kedai berkonsepkan klasik dan mula serius sejak lima tahun yang lalu.
Berkongsi cerita, dengan bermodalkan lebih RM60,000, dia dan adiknya mengubahsuai bangunan yang disewa dan membuat beberapa penambahbaikan untuk menghasilkan sebuah kedai yang mempunyai aura .
“Sebelum ini, saya telahpun berniaga dengan menjual minuman di Pantai Batu Buruk pada 2019 menggunakan kenderaan antik, Volkswagen selain pada waktu yang sama mengumpul bahan-bahan untuk dipamerkan.
“Dalam tempoh itu, saya gunakan untuk mencari dan mengumpul barangan lama dan klasik dari beberapa negeri seperti Perak dan Pulau Pinang selain mendapatkan koleksi dari tempat besi buruk.
“Selepas hampir lima bulan membuat persediaan, akhirnya terbina tempat makan dengan suasana klasik ada auranya tersendiri. Tak hanya menawarkan hidangan yang cukup menyelerakan, malah hiasan dalaman yang serba antik dan padat dengan nostalgia buatkan ia menarik untuk dikunjungi,”katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui.
Tidak seperti kedai kopi atau kopitiam lain, dekorasi dan menu ‘orang lama’ yang diketengahkan di sini mampu menggamit memori silam atau membuatkan tetamunya mengimbau kembali hidangan dan persekitaran yang pasti pernah dirasai ketika zaman kanak-kanak dahulu.
Pengunjung yang datang ke sini bagai merentas masa kembali ke zaman silam berikutan dekorasi laman kedai yang berasaskan barang-barangan antik. Kedai makan kayu lama yang dihiasi aneka barangan antik pastinya menerbitkan rasa nostalgia pelanggan.
Deretan tin kopi, botol air lama, kerusi dan meja, majalah, gambar-gambar lama di ruang utama termasuk basikal serta vespa diluar kedai menjadi tumpuan tarikan pengunjung yang datang dari jauh dan dekat.
Menurut usahawan muda yang juga bekas pekerja di sebuah syarikat cari gali minyak dan gas dari Itali itu, selain reka bentuk dan susun atur premis, tarikan utama Kedai Kopi Buruk adalah terletak pada minuman yang dibancuh khas menggunakan gabungan kopi terpilih bagi menghasilkan aroma yang lebih istimewa.
Katanya, kedainya menyajikan pelbagai minuman seperti kopi buruk, kopi nisan butter, kopi butter dan kopi O disamping itu pelanggan juga boleh menikmati lempeng nyior, laksam, laksa, roti bakar, mi kari dan nasi putih ayam cincang.
Mengenai nama Kedai Kopi Buruk itu, Ahmad Zulhisyam berkata, dia menggunakan nama yang sama ketika berniaga di Pantai Batu Buruk sebelum ini kerana nama itu mempunyai nilai komersial dikalangan peminatnya
"Lagipun, ia juga sesuai dengan konsep kedai saya yang memang berkonsepkan barangan lama dan klasik," katanya.