Kolam La Hot Spring Akan Diasingkan Jantina Tahun Depan

KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Pengasingan pengunjung wanita dan lelaki di kolam air panas semulajadi La Hot Spring di Hulu Besut akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada awal tahun depan dengan peruntukan antara RM30,000 hingga RM50,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, perkara itu sedang  dipertimbangkan secara serius agar pengasingan kolam lelaki dan wanita di La Hot Spring ini dapat dilakukan segera.

"Sudah tentulah, kita ambil kira kemudahan infrastruktur dan prasarana sedia ada demi mewujudkan suasana yang lebih selesa untuk pengunjung ke kolam air panas semula jadi tersebut.

"Kerajaan negeri melalui Majlis Daerah Besut akan mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha dan penduduk setempat untuk mendapatkan cadangan terbaik untuk melaksanakan usaha tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Husaimi Hussin (Hulu Besut) yang ingin tahu usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan lokasi tersebut sebagai destinasi pelancongan terkenal di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Katanya lagi, cadangan untuk melaksanakan pengasingan kolam air panas lelaki dan wanita akan turut mengambil kira faktor infra sedia ada di kawasan La Hot Spring tersebut. 

"Ketika ini, kolam air panas itu menerima limpahan pengunjung setiap hari kerana khasiatnya yang terbukti untuk kesihatan manusia.

"Namun situasi itu tidak 'manis' kerana percampuran lelaki dan wanita di kawasan kolam air panas yang agak sempit sebab itu kita nak asingkannya," ujar beliau.

Kolam Air Panas yang berada di Kampung La atau lebih dikenali sebagai La Hot Spring itu terletak kira-kira 125 kilometer (km) dari Kuala Terengganu. 


Tag: