Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Bakal Diwujudkan
KUALA TERENGGANU, 21 November - Konsortium Koperasi Khariah Masjid Negeri Terengganu akan ditubuhkan bagi menggabungkan koperasi khariah masjid yang menjalankan aktiviti kedai runcit.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia akan berperanan sebagai penggerak utama bagi membekalkan barangan harian kepada kedai runcit milik ahli gabungan.
Katanya, ia sekali gus memastikan bekalan sentiasa tersedia pada harga berpatutan serta 'halalan tayibah'.
“Selain itu, konsortium ini akan menyelaras dan menyusun atur kedai-kedai tersebut menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sama di bawah jenama (K4mart).
“Bagi merealisasikan hasrat ini satu jawatankuasa pemandu telah diwujudkan yang terajui oleh Exco Usahawan dan Koperasi serta dianggotai oleh pihak-pihak berkepentingan iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan pakar dalam industri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Belanjawan 2025 Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Katanya, jawatankuasa tersebut akan memantau serta menyelaras penubuhan dan perjalanan konsortium agar selaras dengan matlamat penubuhannya.