lightning-solid
Berita :
Konvoi Rentas Thailand Bawa Identiti Seni dan Budaya Terengganu
Konvoi Rentas Thailand Bawa Identiti Seni dan Budaya Terengganu
Hafiz Rosli
8 jam yang lepas
176

BANGKOK, 26 Januari – Konvoi rentas Thailand yang melibatkan 23 buah motosikal berkuasa tinggi menjadi platform penting dalam memperkenalkan identiti seni dan budaya Terengganu kepada masyarakat Thailand, sekali gus merancakkan promosi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Konvoi berkenaan disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris bersama pegawai serta petugas Jabatan Pelancongan Terengganu, dan telah memulakan perjalanan dari Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu pada Rabu lalu.

Turut bersama dalam konvoi tersebut ialah Pengasas ECMC, Tengku Seri Temenggung Raja Terengganu, Tengku Datuk Seri Baharuddin, bersama barisan penunggang motosikal berkuasa tinggi ECMC.

Majlis pelepasan konvoi disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah di Bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok. 

Wan Zaidi berkata, pihak kedutaan mengalu-alukan penganjuran program tersebut dan berbesar hati memberikan sokongan penuh terhadap usaha mempromosikan pelancongan, kesenian dan budaya Malaysia kepada masyarakat Thailand.

“Program seumpama itu memberi peluang kepada warga Thailand untuk mengenali dengan lebih dekat keindahan seni, budaya dan keunikan Terengganu, sekali gus mampu menarik minat mereka untuk berkunjung ke negeri tersebut serta ke Malaysia secara keseluruhan,” jelasnya.

FB_IMG_1769409793627.jpg 216.07 KB


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Promosi Pelancongan Terengganu dan Program Silang Budaya Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.Bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok semalam.

Wan Zaidi berkata, dalam kalangan masyarakat Thailand, Terengganu masih belum dikenali secara meluas sebagai destinasi percutian pilihan. 

“Namun, melalui usaha dan komitmen berterusan serta kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan, rakan industri dan agensi berkaitan, saya yakin Terengganu berpotensi untuk muncul sebagai destinasi pilihan utama pelancong Thailand.

“Terengganu mempunyai kelebihan tersendiri untuk bersaing dengan destinasi popular lain di Malaysia seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru dan Pahang (Genting Highlands),” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Program merangkap Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YM Raja Faisal Raja Harun berkata konvoi selama 12 hari dijadual merentasi beberapa wilayah utama di Thailand.

“Ianya termasuk Hua Hin, Bangkok, Phitsanulok, Chiang Mai, Pai, Mae Sot, Kanchanaburi, Chumphon dan Hat Yai sebelum kembali ke Terengganu pada 1 Februari depan.

“Konvoi berkenaan melibatkan jarak perjalanan keseluruhan melebihi 5,000 kilometer dan siri jelajah ini tidak akan terhenti di Thailand sahaja, sebaliknya akan diteruskan lagi buat masa akan datang,” ujarnya.

Raja Faisal berkata program konvoi rentas budaya itu dilihat sebagai salah satu inisiatif strategik dalam memperkukuh hubungan pelancongan dan kebudayaan Malaysia–Thailand.

Di samping katanya, meningkatkan keterlihatan Terengganu sebagai destinasi pelancongan berteraskan budaya, alam semula jadi dan warisan tempatan.


Tag :

Artikel Berkaitan