Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Bagi peminat kopi panas, yang dibancuh pekat, dinikmati pula dengan biskut kering di petang hari sambil duduk di pangkin bawah pokok, dalam tidak sedar mungkin mampu menghabiskan lebih dari dua cawan kopi dihadapan mata.
Kata sesetengah orang pula, kopi mampu menghilangkan ketegangan di kepala dan penolong disaat menghadapi bebanan tugas di rumah atau di pejabat.
Justeru itu, bagi penggemar Kopi Tokkikiter pasti telah menikmati aroma rasa secawan kopi pertama mereka dan sudah tentu terjatuh cinta dengan kehalusan, haruman semerbak dan kepekatannya. Selain jenama, keunikan serbuk campuran kopi yang telah berada di pasaran tempatan sejak 1986 pada kesegarannya.
Pengurusnya, Humairah Mohd Nasir, 34 memberitahu, biji kopi yang digunakan beliau adalah jenis robusta dari Indonesia kerana rasanya adalah lebih menepati citarasa tempatan.
“Datuk saya, Seman Ibrahim, 86, membuat kopi sejak sedekad lalu, ramuan membuat kopi diwarisi secara turun temurun dan sejak saya ambil alih pada 2016, kami akan terus pertahankan warisan ini selagi masih diberi kesihatan.
“Dahulu pada tahun 1986, datuk membuat kopi mengunakan kaedah tradisional iaitu membakar biji kopi menggunakan kayu api, tumbuk menggunakan lesung sebelum mengadunkannya dengan bahan lain bagi menghasilkan kopi pracampuran yang lazat,”ujarnya yang dibantu oleh suami tersayang Mohd Mustakim Mohd Kasturi, 35.
Tambah ibu kepada dua anak ini, memproses biji kopi menjadi serbuk memerlukan kemahiran terutamanya dalam menentukan sukatan setiap adunan yang perlu dimasukkan.
“Biji-biji kopi pada mulanya dipanggang sehingga sempurna dan selepas itu, proses karamel biji kopi menggunakan resepi turun temurun tokki kemudiannya dikeringkan sebelum dimasukkan ke dalam mesin pengisar untuk dihancurkan dan dibungkus,”jelasnya lagi yang turut mempunyai Ijazah dan Sarjana Bioteknologi dari Universiti Malaysia Terengganu(UMT).
Kini setelah 30 tahun bertapak di pasaran, diberi nafas baharu dari segi pembungkusan dan penjenamaan semula, kopi Tokkikiter terus mengorak langkah ke hadapan untuk menembusi pasaran-pasaran dengan menu baharu seiring dengan permintaan semasa.
Bagi Humairah, adalah menjadi impiannya untuk memperluaskan pasaran produknya ke seluruh negara pada masa hadapan.
“Kini kopi kami boleh boleh didapati di seluruh pasaraya Sabasun, kedai runcit di seluruh Terengganu dan juga di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Kedah termasuk melalui agen-agen yang yang dilantik.
“Impian saya untuk tahun depan, pasaran kopi Tokkikiter akan lebih meluas dan yang terbaharu kami berjaya memasuki pasaraya Lesung Mart,” tambahnya yang turut dibantu oleh dua orang pekerja.
Beliau juga berkata, kopi Tokkikiter mampu mencapai kadar pengeluaran kopi sebanyak 200 kilogram sebulan termasuk yang dipasarkan dalam bentuk biji kopi, serbuk dan uncang yang mampu menjana pulangan sehingga RM8,000 sebulan.
Katanya, selain usaha keras, kejayaan mereka hari ini adalah hasil sokongan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Yayasan pembangunan Usahawan (YPU) yang memberi bantuan mesin dan sebagainya,
Humairah dan suami turut berhasrat mewujudkan pusat sehenti kopi yang dilengkapi ladang, pusat pemprosesan, pusat jualan dan kafe pada masa akan datang.
Jelasnya, ia bagi membolehkan pengunjung mempelajari proses pembuatan kopi di samping menikmati kopi yang dihasilkan syarikat itu