KUALA TERENGGANU, 24 Januari - Anak syarikat Kerajaan Negeri, Golden Pharos Berhad menerusi anak syarikatnya, Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) membuktikan bahawa pengurusan digital perhutanan dan pembalakan secara sistematik mampu bergerak seiring dengan peredaran zaman serta keperluan industri semasa.
Keupayaan pengurusan hutan secara mampan itu dizahirkan melalui inovasi E-Balak, selari dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0, apabila sistem tersebut berjaya merangkul Anugerah The Rising Star Award pada Majlis GeoInnovation Malaysia Award 2025, baru-baru ini.

"Anugerah disampaikan oleh CEO Esri Malaysia, Mr CS Tan kepada Pengerusi KPKKT, Muhyiddin Ab Rashid di Kuala Lumpur Convention Centre.
"Terima kasih kepada semua yang terlibat daripada pengurusan tertinggi sehingga pekerja di lapangan.
"Kejayaan ini membuktikan komitmen KPKKT dalam menerajui teknologi perhutanan negeri Terengganu," kata KPKKT melalui satu hantaran.
Melalui pelaksanaan E-Balak, kaedah pengurusan konvensional berasaskan manual telah digantikan dengan sistem pendigitalan sepenuhnya di lapangan, bermula daripada inventori hutan, aktiviti penuaian sehingga ke pusat simpanan kayu atau matau.

Selain itu, sistem berkenaan turut memastikan setiap aktiviti pembalakan dilaksanakan mengikut piawaian kelestarian antarabangsa yang ketat, termasuk pematuhan kepada garis panduan Forest Stewardship Council (FSC), sekali gus menyokong usaha pemeliharaan ekosistem hutan dan biodiversiti di Terengganu.
Kejayaan di peringkat nasional ini melengkapkan pencapaian cemerlang KPKKT bagi tahun 2025 di mana inovasi tersebut turut merangkul Pingat Emas dan Anugerah Khas Industri pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
KPKKT menegaskan bahawa pencapaian ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), SDG 15 (Kehidupan di Darat) serta SDG 8 (Pekerjaan Baik dan Pertumbuhan Ekonomi) melalui penerapan teknologi digital, pengurusan sumber asli secara lestari dan peningkatan kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja.
Kejayaan merangkul The Rising Star Award 2025 sekali gus meletakkan KPKKT sebagai antara organisasi perhutanan terkehadapan dalam aspek inovasi teknologi dan tadbir urus digital, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan Kerajaan Negeri.