KPKT Beri Amaran, Jangan Jadikan PRR 'Homestay'

KUALA NERUS, 10 Oktober - Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi amaran kepada pemilik rumah Program Residensi Rakyat (PRR) yang menjadikan kediaman itu sebagai inap desa akan disenarai hitam.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk  Aiman Athirah Sabu, berkata beliau tidak menafikan bahawa ada PRR yang dijadikan 'homestay' tetapi ia tidak serius dan pihaknya sentiasa membuat kajian dan audit dari semasa ke semasa.

"Ada beberapa kes yang kita pernah jumpa. Sesiapa yang kita dapati menukar milik atau menjual pula kepada pihak lain, kita akan mengambil tindakan tegas dan kalau ada yang menjadikannya 'homestay' mereka tidak akan dapat lagi rumah PRR ini.

"Ini termasuk tindakan tegas yang akan dikenakan kepada pemilik yang menukar milik atau menjual rumah berkenaan kepada pihak lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci PRR Bukit Nenas, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah.

Kata Aiman, projek PRR tersebut melibatkan pembinaan 500 unit rumah pangsa jenis 'walk-up' berkeluasan 700 kaki persegi di atas tanas seluas 17.4 ekar dengan kos peruntukan Kerajaan sebanyak RM96.15 juta. 

"Ia dilengkapi kemudahan seperti taska, tadika, dewan komuniti, surau dan unit kedai dan gerai untuk kemudahan penduduk setempat dan kawasan sekitarnya," jelas beliau.

Tambahnya lagi, harga seunit rumah ialah RM 45,000, ditawarkan kepada golongan B40 yang berpendapatan isi rumah antara RM1,500 hingga RM4,000 sebulan melalui pembiayaan kerajaan negeri.

Sementara itu, Aiman juga berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dgn semua pihak termasuk negeri-negeri untuk program kebajikan rakyat.

"Kalau kerajaan negeri dapat sediakan tanah yang strategik untuk kita dirikan PRR ini, kita akan usaha sungguh-sungguh untuk dapatkan dana bagi realisasikan pembinaannya," katanya.

Menurut beliau, terdapat dua projek PRR di Terengganu iaitu di Padang Hiliran dan Bukit Nenas manakala satu projek sedang dalam pembinaan iaitu di Besut dan satu lagi dalam perancangan iaitu di Jeram, Manir.


Tag: