Kerajaan Perskutuan disaran ambil inisiatif politik bantu krisis yang berlaku di Syria dengan kebalikan semula keamanan di sana. Foto - Nor Hailmey |
Ketua Delegasi Kemanusiaan Iman Care, Dr Suhazeli Abdullah berkata, sebagai sebuah badan kerajaan, pihaknya hanya menghantar bantuan yang tidak melibatkan politik.
“Sebelum ini lebih kurang 6 atau 7 tahun kita terlibat dengan NGO dan kebanyakannya lebih kepada menghantar bantuan yang tidak melibatkan politik.
“Ini adalah langkah yang mungkin agak terkebelakang sedikit dan dengan adanya kerajaan baru dalam negara kita dan di Terengganu sendiri, insya-Allah boleh memberi satu inisiatif dari sudut politik untuk membantu mereka mengembalikan semula keamanan di sana,” jelasnya.
Beliau yang juga Pakar Kesihatan Keluarga berkata demikian ketika ditemui bersama Delegasi Bantuan Kemanusiaan Pelarian Syria di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, kelmarin.
Oleh itu kata beliau, pihaknya bersama 14 NGO telah berjaya mengumpulkan dana kewangan sebanyak RM400 ribu yang akan disumbangkan kepada pelarian di sempadan Turki.
“Yang pertama, untuk menyampaikan bantuan dari sudut barangan selimut baju sejuk dan juga sedikit perubatan.
“Yang kedua, kita akan melakukan kunjungan kepada sekolah anak yatim yang sebelum ini kita sudah pergi buat lawatan. Mengikut keperluan, kita akan sampaikan juga bantuan kepada sekolah tahfiz.
“Yang ketiga, kita insya-Allah akan mengadakan satu simposium yang khusus kepada pelarian Syria ini bagi mengambil sudut yang lain untuk membantu mereka pada masa akan datang,” kata beliau.
Menurutnya, pihaknya akan juga bertemu dengan beberapa NGO tempatan yang berada di Turki.
Keutamaan buat masa ini katanya ialah persedian menghadapi musim sejuk yang melampau sehingga mencecah kosong darjah celcius.
“Di sini pentingnya pemanas di khemah- khemah mereka. Selimut dan baju yang tebal dan akhir sekali pemakanan. Sebab bila musim sejuk tak dapat keluar mencari rezeki,” katanya.
Katanya, sebahagian derma yang disampaikan kepada NGO di sana adalah bagi membeli keperluan yang akan diagihkan nanti.