KTS Hospital Saran Rakyat Ubah Model Pathogenic Kepada Model Salutogenic
Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS Hospital) menyarankan kepada rakyat agar mengubah sistem kesihatan daripada Model Pathogenic kepada Model Salutogenic.
Pengarah Urusan Kumpulan TDM Berhad, Dato’ Mohamat Muda berkata, Model Pathogenic adalah model yang tertumpu kepada penyakit, penyebab penyakit, ubat serta rawatan penyakit dan pemulihan pesakit.
“Manakala Model Salutogenic adalah model yang memberi tumpuan kepada penjagaan kesihatan, faktor-faktor yang menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan individu serta masyarakat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium 2.0-Anjakan Paradigma Kesihatan yang mengetengahkan kepentingan Model Salutogenic di Duyong Marina & Resort, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pegawai Operasi TDM Berhad, Ahmad Zaki Muda.
Mohamat berkata, Model Salutogenic ini secara langsung membantu kerajaan menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan rakyat melalui polisi dan program-program yang mempromosi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Katanya, KTS Hospital mengambil peranan untuk sama-sama merubah pemikiran masyarakat khasnya rakyat Terengganu kearah pendekatan salutogenik dalam menjaga kesihatan.
“Hospital baru KTS di Batu Burok yang merupakan salah satu hospital di bawah naungan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. (KMI) yang dimiliki oleh TDM Berhad, turut menggabungkan model salutogenic tersebut dalam rekabentuk bangunan baru itu.
“Ciri-ciri salutogenic dalam rekabentuk hospital adalah seperti setiap bilik wad hanya untuk seorang pesakit sahaja yang bertujuan untuk mempercepatkan penyembuhan dengan memberi lebih keselesaan dan privasi pesakit serta mengelakkan jangkitan dalam hospital.
“Ciri-ciri salutogenic lain seperti pemandangan laut dan kehijauan yang indah dari hampir setiap bilik, landskap diluar hospital seolah-olah berada di taman, ruang lobi luas dan siling tinggi memberi suasana seolah-olah pesakit merasa bukan berada di hospital," ujarnya.
Katanya, faktor-faktor untuk menggalakkan dan mempercepatkan pemulihan dan penyembuhan pesakit serta mempromosi kesihatan telah di masukkan dalam reka bentuk fasiliti baru itu.