|
Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) mensasarkan 500 peserta akan menyertai larian kesedaran mengenai diabetes menerusi `Run From Diabetes 2017’ pada 22 April ini.
Program bertujuan membantu merealisasikan hasrat kerajaan bagi mengurangkan penyakit ini dari terus menular, akan bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengahari bertempat di KTS Hospital, Batu Buruk serta dijangka akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat
Pengarah Perubatan KTS, Dr Mohamad Yusof Md Kassim, berkata program julung kali inisiatif dan anjuran KTS serta larian diabetis pertama di Terengganu, menawarkan empat kategori dan dibuka kepada semua warga Terengganu yang berminat.
Katanya, kategori berkenaan adalah Sugar Rush terbuka belia lelaki dan wanita (15 tahun hingga 25 tahun), Caramel Latte terbuka lelaki dan wanita (26 tahun hingga 40 tahun), Golden Chocolate terbuka veteran lelaki dan wanita (41 tahun ke atas) dan juga Cotton Candy terbuka untuk keluarga atau berkumpulan untuk lima ahli (terbuka kepada semua peringkat umur).
“Jarak larian antara 5kilometer (km), 4 km dan juga 2 km di mana setiap jarak larian KTS Hospital menyediakan hadiah kepada peserta larian untuk tempat pertama sehingga ketiga.
“Pada masa yang sama, pelbagai akiviti menarik turut disediakan semasa program tersebut diantaranya; seminar kerjaya, food truck, street soccer, gerai jualan dan pameran, derma darah dan pemeriksaan kesihatan dan juga busking,”katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Mohamad berkata, kajian menunjukkan bahawa lebih daripada 65,000 orang di Terengganu sahaja menghidap diabetis akibat amalan gaya hidup yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal.
Tambahnya, angka tersebut semakin meningkat dan ia adalah suatu yang membimbangkan.
Katanya, program ini merupakan satu kempen kesedaran mengenai penyakit diabetes di kalangan rakyat Terengganu dan misi KTS adalah untuk melihat lebih banyak maklumat disampaikan kepada orang ramai dengan mesej yang jelas supaya kekal sihat.
Mohamad berkata, diabetes adalah penyakit kronik yang akan kekal seumur hidup dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk serangan jantung, kegagalan fungsi jantung, kemusnahan buah pinggang, penyakit mata, kerosakan saraf dan ulser sehingga membawa kepada amputasi kaki.
Menurut Penasihat Pusat Pengurusan Diabetes KTSH, Dato’ Dr. Surendranath Menon, sebenarnya penyakit itu boleh dicegah jika orang ramai memilih cara hidup yang sihat.
Katanya, KTS menggalakkan orang ramai untuk menyahut cabaran mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat supaya dapat menikmati kehidupan yang bebas dari diabetes.
“Ia bukanlah sukar tetapi memerlukan usaha untuk ingin berubah ke arah yang lebih baik. Bagi memerangi penyakit ini, seluruh keluarga seharusnya melibatkan diri dengan perubahan gaya kehidupan di mana pencegahan tidak akan berkesan sekiranya hanya anak-anak atau ibu bapa yang melakukannya tanpa didorong oleh langkah-langkah pemantauan yang berkesan,” katanya.