HULU TERENGGANU, 24 Februari - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih meneliti cadangan pemansuhan prosedur pengasingan bagi orang ramai yang didapati menjadi kontak rapat Covid-19.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata prosedur pengasingan bagi kontak rapat tanpa gejala ketika ini sudah tidak dilaksanakan dalam sektor perkhidmatan kesihatan awam.
Jelas Dr Noor Azmi, perkara itu akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat.
"Di pihak kami, Menteri membuat keputusan tentang polisi dan perubahannya berdasarkan fakta dan sains juga melalui perbincangan dengan pakar-pakar di KKM serta pihak luar.
"Setakat ini kakitangan kesihatan yang menjadi kontak rapat, tidak bergejala dan tak ada komorbid dibenarkan bekerja seperti biasa.
"Insya-Allah akan dikembangkan dan kini sedang dalam rancangan untuk masyarakat umum," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) Terengganu, di Sekolah Kebangsaan Seri Buluh, di sini hari ini.
Menurut Dr Noor Azmi, sekiranya pemansuhan itu dilaksanakan, kontak rapat kes positif Covid-19 tidak perlu menjalani kuarantin lima hari bagi penerima dos penggalak dan tujuh hari bagi belum lengkap vaksin.
Mengulas lanjut, Dr Noor Azmi walau bagaimanapun berkata individu yang disahkan kontak rapat sama ada mempunyai gejala atau tidak, masih perlu membuat saringan harian menggunakan kit ujian pantas (RTK) Antigen untuk tempoh tertentu.
"Ia bagi memastikan individu itu benar-benar tidak dijangkiti penyakit berkenaan.
"Sebaliknya, mereka hanya perlu membuat ujian saringan pada hari tertentu dan protokol sama akan kita laksanakan untuk orang ramai apabila tiba masanya.