Kuasa Bukan Lesen Anak Tirikan Pengundi Lawan

KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kemenangan dan kuasa bukan lesen untuk semua pihak menganaktirikan dan berlaku zalim terhadap penyokong parti lawan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebaliknya pihak yang berkuasa perlu adil kepada semua rakyat tanpa mengira sokongan politik mereka.

"Keadilan kita kepada semua rakyat, kita berlaku adil sama ada yang bersama dengan kita atau yang membangkang kita, kerana mereka adalah rakyat yang kita perlu jaga dan uruskan.

"Keadilan wajar diberikan pada yang selayaknya, tanpa mengira pendirian politik kepartian mereka," katanya ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini

Mengulas lanjut beliau berkata, berdendam terhadap pihak lawan sehingga mengakibatkan pembangunan hanya dilaksana kawasan penyokong sendiri bakal menyeksa rakyat sekali gus merugikan negara dan negeri.

"Sikap tidak adil dalam tindakan akan hanya membawa negeri dan negara kita ke belakang dan akan terus tertinggal di kalangan negeri membangun, jauh sekali mencapai status negeri dan negara berpendapatan tinggi.

"Inilah masalah yang menghantui parti politik yang menyertai sistem politik demokrasi dalam negara kita sejak sekian lama. 

"Sistem sudah baik, tetapi dicemarkan oleh tindakan ahli politik yang hanya mementingkan tindakan populis dan 'political survival', berbanding tanggungjawab mengurus tadbir seluruh rakyat dalam negeri atau negara, berbeza dengan negara-negara maju di dunia ini," katanya.

Jelas Naib Presiden PAS itu, perbezaan politik telah menjadi duri yang menyebabkan kesejahteraan rakyat terjejas, rantaian ekonomi terganggu dan merencatkan keharmonian dicapai. 

"Suasana ini perlu berubah, dengan pemimpin yang diberi amanah menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat dan berkhidmat dengan penuh ikhlas dan professional," tambah beliau.

Semalam, Ahmad Samsuri memaklumkan Terengganu hanya menerima RM405 juta dana khas (Petroleum) berbanding RM1.54 bilion yang sepatutnya menjadi milik rakyat negeri ini.

Katanya, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding tahun-tahun terdahulu iaitu RM1.374 bilion (2018), RM1.497 bilion (2019), RM1.226 bilion (2020), RM1.287 bilion (2021) dan RM1.394 bilion (2022).


Tag: