• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

Kuaters Kediaman Tambah Nilai Pusat Pemulihan Dadah

MARANG, 21 Julai - Tiga kuaters kediaman bagi menempatkan pegawai Perkampungan Darul Barakah yang telah siap dibina, diserahkan kepada institusi berkenaan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kuaters bernilai RM300 ribu itu menjadi satu anjakan nilai kepada pusat pemulihan yang membantu penagih dadah kembali ke pangkal jalan, yang diwujudkan pada tahun 2021 hasil manifesto PAS Pilihan Raya Umum ke-14. 

"Pengurusan pusat seperti ini perlu ada pengawasan sepenuh masa. Saya percaya dengan siapnya kuaters ini akan memberikan motivasi untuk pegawai-pegawai melaksanakan tugas mereka.

"Perkampungan Darul Barakah ini adalah agenda kebajikan negeri kepada rakyat khususnya yang terlibat dengan kes-kes berkaitan. Kita sebenarnya menerima banyak permohonan tetapi terpaksa menolaknya kerana kekangan bajet. Saya harap sekiranya kita dapat peruntukan lebih baik tahun hadapan kita akan menerima pelatih baru," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas merasmikan penyerahan Kuaters Kediaman Perkampungan Darul Barakah, di sini hari ini.

Turut hadir ialah timbalannya yang juga merupakan pengerusi ahli lembaga pengarah Darul Barakah; Ridzuan Hashim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan; Sulaiman Sulong, pegawai daerah Marang, Zulkifli Isa dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Yayasan Islam Terengganu, Ahmad Fadludin Mohamad.

Menurut Dr Khalil, Darul Barakah yang ditubuhkan adalah usaha kerajaan negeri untuk kita melaksanakan tanggungjawab sebuah kerajaan kepada rakyat Terengganu. Saya kira banyak lagi yang bakal dilaksanakan, jika sekiranya Allah SWT berikan kemudahan kepada kita.   

"Di kesempatan ini, saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pegawai daerah Marang di atas pembinaan dan menyiapkan kuaters kediaman Perkampungan Darul Barakah dan saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam usaha ini.

"Mudah-mudahan Allah SWT memberi kemudahan kepada kita menguruskan Perkampungan Darul Barakah ini dan menjalankan perancangan dirancangkan," katanya. 

 


Tag: