PUTRAJAYA, 10 Disember– Satu kunjungan hormat telah diadakan ke Pejabat Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan tujuan memperkukuh kerjasama strategik bagi pembangunan sektor pelancongan, seni dan budaya di DUN Hulu Besut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha merangka perancangan pembangunan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi bagi memanfaatkan potensi pelancongan setempat.

“Hulu Besut mempunyai kelebihan dari segi sumber alam semula jadi, warisan budaya serta produk pelancongan komuniti yang mampu diketengahkan secara lebih meluas jika disokong dengan perancangan strategik dan bantuan kepakaran,” katanya ketika ditemui selepas diadakan pertemuan tersebut, di sini, baru-baru ini.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Kunjungan hormat tersebut telah diadakan bersama Ketua Setiausaha MOTAC, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Besut, Ahmad Rizal Mamat.
Husaimi berharap pertemuan tersebut dapat membuka ruang kepada pelaksanaan program-program pelancongan yang bersifat mampan, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat di DUN Hulu Besut.