KUALA TERENGANU, 22 Julai- Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) menggesa kerajaan turut memberi perhatian terhadap kenaikan pencen pesara memandangkan kos sara hidup dan bebanan kewangan yang semakin tinggi.
Presidennya, Dato’ Omar Osman berkata, ia selaras dengan pengumuman khas berkaitan dengan kenaikan gaji 1.5 juta penjawat awam yang akan dibuat kerajaan pada 16 Ogos depan.
“KUPEKMAS memang mengharapkan kerajaan hari ini supaya memberi perhatian terhadap kenaikan pencen pesara.
“Bila berlaku pembatalan kenaikan pencen dua peratus setahun hari itu, kita tidak ada lagi kenaikan tahunan macam biasa. Kita terimalah keputusan kerajaan ketika itu.
“Kita harap ketika Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam tidak lama lagi, akan berlaku kenaikan pelarasan pencen buat pesara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Pesara KUPEKMAS Peringkat Kebangsaan 2024 yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan perkara tersebut yang melibatkan kebajikan kira-kira 900,000 pesara.