Laluan di antara kilometer (km) 250 dan 305.9 di antara Jabor dan Kijal yang meliputi sebahagian daripada Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan ditutup sementara pada 22 Julai (Sabtu) ini bermula jam 5:00 pagi hingga 2:00 petang bagi memberi laluan kepada penganjuran acara berbasikal De’ Perasing Ride@LPT2.
Pengurus Besar LPT2 Sdn Bhd, Husni Md Yusuf berkata, penutupan laluan Jabor-Kijal tersebut juga membabitkan Persimpangan Bertingkat Cheneh dan Persimpangan Bertingkat Chukai di LPT2.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif serta merancang perjalanan mereka sepanjang penutupan tersebut.
“LPT2 akan menggunakan pelbagai saluran untuk menghebahkan penutupan sementara tersebut kepada orang ramai termasuk media elektronik dan media cetak, media sosial, papan tanda elektronik, laman web, Twitter LPT2Trafik dan lain-lain lagi,” jelas Husni.
Katanya, orang ramai dari arah Kuala Lumpur yang ingin ke Pantai Timur dinasihatkan supaya keluar dari Lebuh raya LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor.
“Sekiranya mereka ingin meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu dan Kelantan menerusi Lebuh raya LPT2, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya masuk semula ke Lebuh raya LPT2 menerusi Plaza Tol Kijal,” kata Husni.
Tambah beliau, bagi kenderaan dari arah Kuala Terengganu yang menghala ke Kuala Lumpur, mereka perlu keluar di Plaza Tol Kijal di Lebuh raya LPT2 sebelum masuk semula ke Lebuh raya LPT1 menerusi Plaza Tol Jabor untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Menurut Husni, LPT2 juga bekerjasama dengan pihak polis dan pihak-pihak lain dalam memastikan kelancaran trafik dan membantu orang ramai sepanjang tempoh penutupan sementara tersebut.
“Laluan di antara Jabor dan Kijal dijangka dibuka semula kepada orang ramai mulai jam 2:00 petang pada 22 Julai sejurus berakhirnya acara berbasikal tersebut,” ujarnya.