• 16 Okt 2024 | 13 Rabiul Akhir 1446

Lapan Tahun Menanti, Terengganu Genggam Piala Tun Abdul Razak

KUALA TERENGGANU, 13 Oktober- Pasukan Hoki Terengganu mengakhiri kemarau kejuaraan selama lapan tahun dengan merangkul Piala Tun Abdul Razak 2024, malam tadi.

Kejayaan bersejarah itu hadir selepas Terengganu bangkit dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Taman Daya, Johor Bahru.

Skuad kendalian Asrul Hisyam Ahmad itu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kejohanan terbabit sekalipun dikejutkan jaringan awal tuan rumah menerusi Muhammad Faris Ros Fadillah pada minit ke-26.

Terengganu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-36 menerusi Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak sebelum Muhammad Aiman Nik Rozemi meletakkan Terengganu di depan 2-1 dengan jaringan pada minit ke-43.

Johor cuba bangkit untuk meraih detik bersejarah di halaman sendiri, tetapi penjaga gawang Speedy Tigers, Zaimi Mat Deris kemas menjaga pintu gol Terengganu.

Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi yang merupakan gelaran ketiga pada kejohanan itu selepas berbuat demikan pada 2012 dan 2016.

Penyerang, Faizal Saari juga meraih anugerah penjaring terbanyak kejohanan selepas meledakkan 19 gol untuk Terengganu.

Pencapaian menjulang Piala Tun Abdul Razak 2024 menjadi detik penuh warna-warni skuad hoki Terengganu setelah menamatkan saingan sebagai naib juara pada saingan Liga Hoki Malaysia tahun ini.

Dalam pada itu, jutaan tahniah turut dirakamkan buat Pasukan Hoki Wanita Terengganu atas kejayaan meraih tempat ketiga dalam Piala Tun Abdul Razak edisi ke-62.

 

 


Tag: