Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
Lata Hot Spring, Lata Tembakah Perlu Diberi Nafas Baharu Jadi Mercu Tanda Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Terengganu digesa agar memberikan nafas baru kepada dua lokasi pelancongan di Hulu Besut iaitu Lata Hot Spring dan Lata Tembakah yang berpotensi menjadi mercu pelancongan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Hussaimi Hussin berkata, dua lokasi terbabit merupakan khazanah alam semula jadi yang mengagumkan namun kemudahan asas yang ada masih daif dan infrastruktur pelancongan belum mencapai standard yang meyakinkan.
"Justeru, sudah sampai masanya kerajaan negeri memberikan keutamaan kepada menaik taraf kemudahan asas pelancongan termasuk jalan, tandas, surau, ruang rehat dan juga aspek keselamatan.
"Dalam masa yang sama, perlu ada satu pelan induk lanskap pelancongan agar pembangunan tidak merosakkan alam malah memuliakan keindahan alam semula jadi yang dimiliki di Hulu Besut kerana apabila alam dihargai pelancong akan kembali.
"Apabila pelancong datang ekonomi akan berkembang," ujarnya ketika menyampaikan Ucapan Perbahasan Titah Ucapan Diraja sempena Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Hussaimi juga berharap agar dilaksanakan satu kempen Hulu Besut bersih dalam menjaga khazanah alam semula jadi yang ada sebagai satu pendekatan komuniti agar kebersihan menjadi budaya hidup rakyat.
"Bukan sekadar kempen bermusim, semua agensi berkaitan perlu mengambul peranan masing-masing secara aktif,"katanya.