Lebih RM100 Ribu Diagihkan Sebagai Galakan Pertanian
DUNGUN, 8 Januari - Sebanyak RM101,375 telah diagihkan kepada 77 orang perseorangan, agensi-agensi dan sekolah-sekolah sebagai galakan untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian.
Pegawai Pertanian Daerah Dungun, Nur Shazwani Mohd Salleh berkata, agihan berkenaan merupakan peruntukan yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Malaysia pada akhir tahun lepas.
"Jadi kita agihkan pada awal tahun ini kepada mereka yang telah melibatkan diri dalam pertanian," ujarnya.
Nur Shazwani yang ditemui selepas Penyerahan Agihan Peruntukan tersebut oleh Pegawai Khas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang untuk Peringkat DUN Rantau Abang di Majlis Bertemu Pelanggan MAFI di Dewan Majlis Perbandaran Dungun(MPD) kelmarin.
Menurutnya lagi terdapat tiga kategori penerima yang mendapat manfaat peruntukan yang disalurkan iaitu Pertanian Bandar, Pertanian Kontrak dan Amalan Pertanian Baik (MyGAP).
"Kalau yang baru hendak mula, datanglah ke Pejabat Pertanian, kita bersedia membantu dan memberi khidmat nasihat sehingga berjaya, insya-Allah, " katanya.
Seorang peserta kategori Ladang Kontrak, Roslinawati Othman, 37, berkata penglibatannya dalam sektor pertanian bermula sejak 14 tahun lalu.
" Ketika itu, saya hanya membantu ayah menanam timun, lada, terung secara bergilir di belakang rumah di Kampung Baru, Kuala Abang.
"Setelah kematian ayah, saya mengusahakan tanaman fertigasi bersama ibu dengan mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian Dungun dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," ujar ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.
Katanya, dia juga menternak ikan hiasan dan dijual secara atas talian.