lightning-solid
Berita :
Terengganu Giat Pulih Terumbu Karang, Pacu Pelancongan dan Ekonomi
Terengganu Giat Pulih Terumbu Karang, Pacu Pelancongan dan Ekonomi
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 18 Ogos – Usaha memulihkan terumbu karang yang rosak di perairan Terengganu bukan sekadar penting untuk menjaga biodiversiti dan ekosistem laut, malah mampu memberi limpahan ekonomi kepada rakyat menerusi sektor pelancongan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, usaha pemulihan itu penting memandangkan Terengganu mempunyai banyak pulau yang telah diwartakan sebagai taman laut dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Katanya, pada 16 dan 17 Ogos lalu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu bersama pihak berkaitan telah melaksanakan Program Restorasi Karang bagi memulihkan terumbu karang yang mengalami kerosakan.

“Kaedah yang digunakan ialah mengambil anak-anak terumbu karang yang jatuh sebelum diletakkan semula di atas struktur pemulihan dan diikat supaya ia dapat tumbuh kembali.

“Biasanya dalam tempoh lebih kurang setahun, karang akan tumbuh dan kembali berfungsi sebagai habitat serta tempat pembiakan ikan,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam.

Mengulas kerosakan terumbu karang yang dikaitkan dengan aktiviti bot nelayan melabuhkan sauh sebagaimana tular baru-baru ini, beliau berkata, perkara itu tidak semestinya menjadi satu-satunya punca.
Menurutnya, faktor cuaca termasuk angin barat dan musim angin tenggara turut boleh menyebabkan kerosakan terumbu karang.

“Apabila berlaku ribut, ia boleh menyebabkan kerosakan kepada terumbu karang di banyak tempat. Pulau Redang antara kawasan yang turut mengalami kerosakan.

“Walau apa pun punca kerosakan, tanggungjawab kita ialah untuk ‘restore’ semula dan memastikan terumbu karang itu dapat dipulihkan,” katanya.

Dr. Azman berkata, terumbu karang mempunyai peranan besar terhadap biodiversiti dan keseimbangan ekosistem laut, selain menjadi habitat serta kawasan pembiakan ikan.

Pada masa sama, keindahan terumbu karang menjadi antara tarikan utama pelancong untuk melakukan aktiviti snorkeling dan menyelam di pulau-pulau peranginan negeri ini.

“Jadi pemulihan terumbu karang ini sebenarnya serampang banyak mata untuk kepentingan sosioekonomi rakyat, khususnya dalam konteks Terengganu yang mempunyai banyak pulau diwartakan sebagai taman laut dan menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, program pemulihan terumbu karang juga wajar diberikan perhatian dalam peruntukan bajet negeri bagi merangsang dan memperluaskan usaha restorasi pada masa hadapan.

“Sememangnya program ini memerlukan sedikit sumber kewangan. Kalau dimasukkan sebagai satu daripada tumpuan bajet dan dibawa dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), ia boleh merangsang serta menggalakkan lebih banyak program seperti ini yang akhirnya dapat dinikmati semua pihak.

“Apabila pelancong tertarik dengan keindahan terumbu karang kita, mereka akan datang. Sudah tentu kesannya turut dirasai pengusaha homestay, pengusaha bot, pemilik kedai cenderamata dan pelbagai lagi sektor berkaitan.

“Jadi kita nampak usaha ini seperti kecil, tetapi sebenarnya memberi impak yang besar kepada ekonomi rakyat,” katanya.



Tag :

Artikel Berkaitan