Letak Syarat Hanya Gadis Belum Baligh Boleh Menari di Khalayak
KUALA TERENGGANu, 19 November - Kerajaan negeri disaran agar meletakkan syarat hanya anak-anak gadis yang belum mencapai usia baligh sahaja dibenar melakukan persembahan tarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, langkah itu perlu bagi memantapkan pelaksanaan garis panduan bagi memastikan negeri Terengganu sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT.
"Adalah lebih 'molek' kiranya mendefinisikan anak gadis tersebut kepada baligh dan belum baligh.
"Ertinya anak-anak sekolah rendah yang belum baligh sahaja dibenarkan membuat persembahan tarian dan sebagainya di hadapan khalayak umum.
"Saya melihat perkara ini memerlukan penglibatan semua agensi yang berkaitan untuk memastikan pemerkasaan dan pelaksanaan garis panduan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Zuraida berkata bagi memastikan perkara itu dapat direalisasikan, ia memerlukan penglibatan semua pihak serta agensi yang berkaitan.
"Bagi memastikan pemerkasaan dan pelaksanaan garis panduan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab.
"Institusi kerajaan perlu menunjukkan contoh yang baik supaya menjadi ikutan kepada yang lain dan pelaksanaan setiap program perlulah diteteliti terutama bila berkait dengan persembahan yang melibatkan wanita," ujarnya.