MARANG, 22 Oktober - Nasib lima beranak yang menghuni 'pondok' usang di Kampung Alur Tuman di sini mendapat perhatian apabila mereka bakal mendapat rumah baharu lebih selesa.
Selepas lebih 30 tahun tinggal di rumah uzur dan daif itu, ibu tunggal, Zaidah Ghazali, 46, bakal menerima bantuan bina rumah baharu di bawah peruntukan khas Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan proses pembinaannya dijangka bermula dalam masa terdekat.
Zaidah yang berkerja sebagai pembuat kuih tradisional selepas suaminya meninggal enam tahun lalu terpaksa berteduh di pondok itu bersama empat anak mereka.
Menurut Zaidah, dia amat bersyukur apabila menerima bantuan tersebut dan tidak dapat membayangkan kegembiraan apabila akan tinggal di kediaman baharu
"Saya berasa bersyukur setelah mendapat tahu saya akan menerima bantuan ini, dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas pembinaan jalan asas untuk ke tanah tapak rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Sementera itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bagi mendapat kelulusan bina baru, syaratnya adalah rumah yang hendak dibina mestilah mempunyai jalan asas untuk ke tapak tanah.
"Jalan itu telah dibina dibawah peruntukan ADUN Rhu Rendang yang juga Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ia bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan dan membawa masuk barang-barang yang diperlukan oleh tukang rumah atau kontraktor yang terlibat.
"Kita telah berusaha membantu Puan Zaidah setelah mendapat aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alur Tuman, dengan membangkitkan isu ini ke dalam mesyuarat Focus Group, pembasmi kemiskinan di Daerah Marang.
"Puan Zaidah telah dijadikan sebagai calon peserta Mobile Team yang melibatkan beberapa jabatan untuk dibuat siasatan khusus berkenaan kelayakannya," ucapnya lagi.
Sebelum ini, tinjauan telah dibuat oleh Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman.