DUNGUN, 31 Julai - Kekalahan dalam penampilan pertama sebagai calon daripada PAS tidak mematahkan semangat Ghazali Sulaiman, sebaliknya sepanjang tempoh lima tahun beliau tidak berdiam diri dalam mengerakkan segala gerak kerja kebajikan untuk rakyat.
Selain itu katanya, tindakan segera yang diambil apabila berlaku bencana seperti ribut dan banjir menjadi nilai tambah untuk dirinya semakin dikenali oleh rakyat menjadikan dirinya optimis pada kali ini mampu menang di DUN Bukit Besi.
''Bermakna telah lama kita gerakkan strategi untuk menambat hari rakyat dan membawa mesej bahawa PAS adalah relevan untuk semua rakyat di sini.
''Semua penduduk saya utamakan tanpa mengira parti, jika ada yang berhadapan masalah atau petaka saya akan pastikan saya orang terawal yang sampai bagi menghulurkan bantuan.
''Pantang mendengar ada yang sakit, kita akan pergi menziarahi mereka dan mengenal pasti apa keperluan mereka apabila menderita sakit di mana kita menyediakan kerusi roda, katil pesakit dan sebagainya,''ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Proses Penamaan Calon bagi DUN Bukit Besi, di Dewan Al Farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, selain bergerak aktif dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk rakyat beliau juga sentiasa memberi tumpuan pendidikan kepada anak-anak di DUN berkenaan.
''Antaranya kita mengadakan tuisyen rakyat secara percuma untuk mereka hampir setiap tahun serta meraikan mereka yang berjaya menyambung kemana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan mengadakan majlis.
''Dari situ saya berjaya menjalinkan hubungan baik dengan mereka, malah mereka datang berjumpa saya apabila pulang ke kampung semasa cuti semester, saya bagi mereka seperti seorang ayah.
"Tiada apa yang kita harapkan melainkan ingin melihat mereka ini berjaya dalam pelajaran bagi mengubah nasib keluarga,''ujarnya.
Dalam pada itu katanya, pengalaman menjadi Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi selama ini juga membantunya dalam melakukan perancangan apabila dipilih menjadi ADUN nanti.
''Fokus saya ingin menggalakkan anak muda melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan kalau dilihat pusat pelancongan di sini semakin terkenal, saya melihat ia memberi suatu impak yang positif kerana itu kita wujudkan 'kiosk' setakat ini kita telah bina dua iaitu di Pasir Raja dan juga di tempat perkelahan di Sungai Kelemin.
''Malah saya juga telah memperelokkan infrastruktur serta kemudahan di lokasi perkelahan ini dengan menaik taraf jalan melalui tempat ini, menyediakan tandas awam dan sebagainya kita bagi 'comel' sepanjang lima tahun ini,''ujarnya.
Tambahnya lagi,PN mampu melakar kejayaan cemerlang pada kali ini kerana yakin dengan gelombang anak muda serta rakyat yang telah melihat kerajaan ditadbir PAS adalah lebih baik berbanding sebelum ini.
''Kerana itu pada PRU peringkat parlimen kita mampu menang hampir 3,000 untuk DUN, melihat keadan semasa yang berlaku di peringkat nasional dan juga prestasi ditunjukkan kerajaan negeri selama ini saya merasakan majoriti itu akan bertambah,'' ujarnya lagi.