Limpahan Rezeki Buat Penduduk RMM Telok Kalong

KEMAMAN, 28 Februari - Penduduk Rumah Mampu Milik (RMM) Telok Kalong, Kijal kini lega apabila pelbagai sumbangan diterima mereka akibat banjir yang melanda taman perumahan tersebut tahun lepas.

Selain kerajaan pusat dan kerajaan negeri, banyak di kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta syarikat swasta di sekitar kawasan tersebutn turut memberi sumbangan seperti wang tunai, barangan dapur, perkakas elektrik dan tikar getah.

Muhamad Haiqal Shafie.

Pegawai Khas Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Mohamad Haiqal Shafie memberitahu, seramai 621 mangsa banjir yang disenaraikan di DUN Kijal menerima bantuan.

"Hari ini seramai 157 orang penerima bantuan banjir yang didaftarkan ketika banjir tempoh hari menerima bantuan masing-masing.

"Hari ini juga adalah hari kedua agihan di mana hari Sabtu minggu lepas kita telah selesaikan sebahagian pengagihan tersebut," katanya.

"Memandangkan penerimanya agak ramai, jadi kita adakan sebanyak dua sesi bagi mengurangkan jumlah keberadaan peserta di dalam satu masa di musim penularan pendemik Covid 19 ini," ujarnya.

Haiqal ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Pengagihan Sumbangan Banjir DUN Kijal di Kompleks Paya Lasir, Bandar Kijal Sejahtera semalam.

Sumbangan kali ini adalah daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kemaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat Kemaman dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Jawatankuasa Pemuda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ameerah DUN Kijal dan Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung serta kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal.


Tag: