Litar Lumba Terengganu, Mula Dibuka


Pembukaan Litar Lumba bertaraf antarabangsa di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus  adalah ‘hadiah’ kepada golongan muda yang sebelum ini gemar menjadikan jalan raya sebagai litar lumba haram.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dia yakin dengan pembinaan litar yang menelan belanja RM12.7 juta dan diiktiraf Persatuan Automobil Malaysia (AAM) itu mampu menjadikan Terengganu sebagai `sifar rempit’ pada masa akan datang.

Katanya, ini kerana berdasarkan pemantauan pihak berkuasa, kini hampir 95 peratus masalah sama, terutama membabitkan Jalan Durian Burung dan Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dapat diatasi.


“Seharusnya mat rempit tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat mereka menunjuk bakat kerana ia akan membahayakan nyawa pengguna lain dan sudah tiba masa mereka membuktikan kehebatan menunggang motosikal dengan berlumba di litar lumba yang disediakan ini.

"Mana tahu, mereka boleh menjadi jaguh dalam sukan permotoran, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai tempat melahirkan pelumba motosikal handal satu hari nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Litar Lumba Permotoran Terengganu dan Drag Battle 2017, malam tadi.


Hadir sama, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Dato’ Rozi Mamat.

Sebanyak RM100,000 disumbangkan kepada Koperasi Permotoran Terengganu Darul Iman Berhad yang dimiliki Persatuan Permotoran Terengganu Darul Iman sebagai insentif membuka bengkel bengkel motor sekaligus menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda.


Litar seluas 2.4 hektar yang dibina sejak Disember tahun lalu itu juga mampu memuatkan kira-kira 1,500 penonton manakala di perkarangan litar, ia boleh menempatkan lebih 25,000 peminat sukan permotoran.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk Litar Cub Prix sepanjang 1.35 km dan Sprint Test sejauh 0.95 km, trek ujian pecut dan gelanggang drift.

Tag: