lightning-solid
Berita :
Living Lab REE Buka Laluan Kerjaya Berteknologi Tinggi Untuk Anak Terengganu
Living Lab REE Buka Laluan Kerjaya Berteknologi Tinggi Untuk Anak Terengganu
Adli Mohamad
5 jam yang lepas
114

KUALA  TERENGGANU, 26 Januari – Masa depan anak muda Terengganu dalam industri mineral strategik dunia semakin cerah apabila negeri ini mencipta sejarah dengan penubuhan Living Lab In-Situ Leaching (ISL) yang pertama seumpamanya, khusus bagi pembangunan kepakaran Rare Earth Elements (REE).

Inisiatif berimpak tinggi itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara University College TATI (UC TATI) dan syarikat pakar industri, Greensnow Sdn. Bhd. sekali gus membuka ruang latihan dan penyelidikan teknologi perlombongan moden secara langsung kepada pelajar dan belia tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, penubuhan Living Lab tersebut merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan rakyat Terengganu tidak sekadar menjadi tenaga kerja. 

Malah katanya berupaya menjadi pemain utama dalam ekonomi baharu berasaskan teknologi tinggi.

"Pendedahan awal kepada teknologi perlombongan moden dan mesra alam mampu melahirkan tenaga mahir tempatan yang berdaya saing di peringkat nasional dan global.

“Dengan adanya Living Lab di UC TATI, anak-anak Terengganu akan dilatih menggunakan teknologi paling moden dan selamat. Inilah masanya untuk mereka bangkit sebagai pakar dalam sektor berteknologi tinggi yang bernilai strategik kepada negara,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, baru-baru ini. 

Mengulas lebih lanjut beliau berkata Living Lab ISL tersebut berfungsi sebagai ‘makmal hidup’ yang membolehkan latihan amali dijalankan secara langsung menggunakan kaedah In-Situ Leaching, iaitu teknologi pengekstrakan REE yang lebih bersih, terkawal dan mesra alam berbanding kaedah perlombongan tradisional.

Penubuhan kemudahan itu turut menandakan satu transformasi besar dalam landskap pendidikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Terengganu, dengan memberi penekanan kepada kemahiran sebenar industri serta keperluan pasaran semasa.

UC TATI sekali gus mencipta sejarah sebagai Institusi Pengajian Tinggi pertama di Terengganu yang menyediakan kemudahan khusus bagi penyelidikan dan latihan REE.

Usaha itu diperkukuhkan dengan sokongan MBI Terengganu melalui MBI Modal Sdn. Bhd., yang menyediakan jaringan industri dan sokongan kewangan bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada peluang ekonomi sebenar.

Majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu,  Hilmi Harun; Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Greensnow Sdn. Bhd., Nik Abdul Mubin Nik Mahmood; Penasihat Kewangan MBI Terengganu, Mohd Badaruddin Ismail; serta Ketua Pegawai Eksekutif MBI Modal Sdn. Bhd., Mohd Farid  Awang.

Dengan kewujudan Living Lab ISL ini, kini, Terengganu dilihat berada pada landasan tepat untuk melahirkan generasi pakar perlombongan moden tempatan, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab ekonomi baharu berasaskan teknologi dan sumber strategik negara.


Tag :

Artikel Berkaitan