Jalur Gemilang
Berita :
LPT3 Perlu Dinilai Berdasarkan Kepentingan Rakyat
LPT3 Perlu Dinilai Berdasarkan Kepentingan Rakyat
Zuhdi Abdullah
1 jam yang lepas
93

KUALA LUMPUR, 21 Oktober- Kerajaan digesa menilai semula pendekatan pembiayaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dengan mempertimbangkan model pembiayaan hibrid bagi mempercepat pelaksanaannya demi kepentingan rakyat di Pantai Timur.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak berkata, pembangunan infrastruktur strategik seperti LPT3 tidak seharusnya dinilai berdasarkan potensi kutipan tol semata-mata, sebaliknya mengambil kira manfaat ekonomi dan sosial yang bakal dinikmati penduduk khususnya di Terengganu dan Kelantan.

Menurut beliau, LPT3 yang dicadang menghubungkan Kampung Gemuruh, Terengganu ke Tunjong, Kelantan mempunyai anggaran kos RM9.8 bilion berdasarkan kajian terdahulu.

“Kerajaan memaklumkan bahawa pelaksanaan LPT3 akan menggunakan pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) dengan kos pembangunan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.

“Namun, kita melihat Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua di Pulau Pinang bernilai RM3 bilion menggunakan model pembiayaan hibrid, iaitu 60 peratus peruntukan kerajaan dan 40 peratus pembiayaan PLUS Berhad.

“Justeru, apakah pertimbangan yang membezakan kedua-dua pendekatan ini? Adakah model pembiayaan hibrid turut dinilai bagi mempercepat pelaksanaan LPT3?” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Dr. Alias berkata, projek LPT3 berpotensi memberikan manfaat besar melalui penjimatan masa perjalanan, kelancaran pergerakan logistik, peningkatan peluang perniagaan serta limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Kerja Raya menjelaskan status terkini proses permohonan cadangan (RFP), garis masa pemilihan pelaksana dan sasaran permulaan pembinaan projek berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa mekanisme pembiayaan dan penetapan kadar tol perlu dirancang dengan teliti supaya tidak membebankan rakyat, khususnya pengguna yang bergantung kepada jaringan lebuh raya untuk urusan pekerjaan dan perniagaan.

Dalam pada itu, Dr. Alias menyifatkan pembangunan LPT3 dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai dua projek strategik yang saling melengkapi dalam memperkukuh jaringan pengangkutan serta merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah Pantai Timur.

Katanya, kemajuan pembinaan ECRL perlu disusuli perancangan pembangunan kawasan sekitar stesen, penyediaan jalan penghubung, integrasi pengangkutan awam dan penglibatan perusahaan tempatan bagi memastikan manfaat projek dapat dinikmati secara menyeluruh.

“Pembinaan landasan sahaja tidak menjamin limpahan ekonomi. Pembangunan di sekitar stesen, hubungan dengan pengangkutan tempatan serta peluang kepada perusahaan setempat mesti dirancang secara bersepadu.

“Saya juga memohon Kementerian Pengangkutan menjelaskan tahap kesiapsiagaan pengoperasian ECRL, integrasi stesen dengan pengangkutan tempatan dan perancangan pembangunan ekonomi di sepanjang jajaran Terengganu,” katanya.

Mengulas mengenai keseimbangan pembangunan wilayah, beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) perlu berteraskan prinsip keadilan dalam pengagihan sumber dan peluang supaya kemakmuran negara tidak hanya tertumpu kepada wilayah tertentu.

Menurutnya, Majlis Kewangan Negara wajar diperkukuh sebagai platform untuk meneliti mekanisme perkongsian hasil dan geran penyamaan fiskal berdasarkan jurang infrastruktur, keperluan pembangunan serta keupayaan hasil setiap negeri.

Beliau turut mencadangkan supaya mekanisme berkenaan disokong dengan peruntukan pembangunan berbilang tahun bagi membolehkan kerajaan negeri merancang dan melaksanakan projek secara lebih berkesan.

“Pembangunan yang adil bukan sekadar memastikan setiap negeri menerima peruntukan, tetapi memastikan negeri yang masih ketinggalan mendapat peluang sewajarnya untuk mengejar kemajuan.

“Ukuran kejayaan LPT3 dan ECRL bukan hanya pada siapnya projek, tetapi sejauh mana kedua-duanya mampu mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan merancakkan ekonomi setempat,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan