KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengajak umat Islam agar memanfaatkan detik tahun baharu hijrah sebagai pemangkin untuk kembali mencari peluang, kekuatan dan keyakinan bagi meneroka perubahan yang lebih baik setelah menempuhi pelbagai ujian melanda kehidupan.
Baginda bertitah, ia selaras dengan perintah Allah agar manusia melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah yang memacu kemakmuran bumi secara kolektif baik secara moral dan material.
“Kita merasa cukup bertuah kerana peranan dimainkan oleh setiap rakyat di negeri ini memberi seribu makna dalam mengekalkan nilai kemakmuran dipupuk hasil toleransi, kerjasama dan muafakat generasi terdahulu.
“Sikap tolong menolong atas prinsip perpaduan umat manusia sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum, suku, bangsa dan agama menjadi asas penting kemakmuran negara,” titah baginda.
Sultan Mizan bertitah demikian sewaktu merasmikan sambutan Maal Hijrah 1444 Hijri peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.
Sultan Mizan turut mengajak umat Islam agar menghayati peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat dalam membangkitkan kesedaran memenuhi tanggungjawab selaku khalifah Allah dengan lebih baik.
Titah baginda lagi, detik tahun baharu hijrah perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk kembali mencari peluang, kekuatan dan keyakinan bagi meneroka perubahan yang lebih baik setelah menempuhi pelbagai ujian melanda kehidupan.