Madinah Ramadan Kembali, Angkat Pengisian Rohani
KUALA TERENGGANU, 7 April- Terengganu membuka kembali tirai Madinah Ramadan bagi menghidupkan suasana dakwah dan ilmu di kalangan masyarakat sempena bulan mulia ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah menzahirkan kegembiraan apabila program yang penuh pengisian ilmu itu dapat kembali diadakan setelah negara memasuki fasa peralihan ke endemik berikutan Covid-19.
"Alhamdulillah pada tahun ini kita dapat melaksanakan semula program Madinah Ramadan. Walaupun begitu, tahun ini agak kecil sedikit jika dibandingkan dengan penganjuran awal kita buat dahulu.
"Walau demikian, kita laksanakan juga atas asas untuk menghidupkan Ramadan. Insya-Allah, sesiapa sahaja boleh datang berbuka dan juga boleh datang untuk mendengar tazkirah di Madinah Ramadan yang kita sediakan berhampiran dengan bazar-bazar Ramadan di tempat-tempat tumpuan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Madinah Ramadan Negeri Terengganu di Dataran Drawbridge, semalam.
Jelasnya, Madinah Ramadan akan diisi dengan tazkirah serta pelbagai program keilmuan seperti pengisian untuk muslimah dan sebagainya sepanjang bulan ini.
"Usaha ini memberi peluang pengunjung di bazar-bazar untuk melihat dan merasai kemeriahan Ramadan disamping memenuhi ibadah puasa mereka dengan perkara bermanfaat," katanya.
Tahun ini, program Madinah Ramadan akan diadakan pada skala kecil dan sederhana berhampiran bazar-bazar Ramadan seluruh negeri bagi menyebar luaskan usaha dakwah dan penyampaian ilmu kepada masyarakat Terengganu.