Mahasiswa Agen Perubah Masyarakat Dan Negara

Yahaya Ali (tengah) bersama mahasiswa.

KUALA NERUS, 24 Mac - Dalam menghadapi dunia yang penuh dengan cabaran hari ini, peranan mahasiswa yang produktif dalam segenap bidang menjadi senjata penting.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Yahaya Ali berkata, mahasiswa adalah golongan yang sangat diperlukan dalam masyarakat dan juga negara bagi menggerakkan pembangunan dan juga ekonomi setempat.

Ujarnya, kemahiran dan ilmu yang dipelajari di alam kampus menjadi asas penting kepada golongan itu untuk menyalurkannya bagi mendidik masyarakat serta bersama memajukan negara.  

“Golongan mahasiswa sebagai golongan yang berada di menara gading, mestilah merasakan bahawa mereka adalah golongan yang penting.
“Mahasiswa adalah golongan yang dilihat mewakili golongan ‘intellectual’, golongan ‘agent of change’, perubah masyarakat, yang mempunyai idealisme dalam hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesenian Islam (MKI), di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.
 
Yahaya Ali berucap pada masjlis penutupan MKI.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Profesor Ts. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali, Pengarah Pusat Pembangunan Holistik dan Kaunseling Pelajar (PPHKP) UMT, Dr. Izan Dato’ Jaafar, dan Pengarah Pusat Keusahawanan dan Kerjaya (CEC) UMT, Dr. Mohd Shaari Abd Rahman. 

Hadir sama, Pengarah Sukan dan Rekreasi UMT, Mohd Rafie Jusoh, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMT, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd Suddin serta pengarah program MKI, Nur Aina Mior Ahmad Nazizan.

Yahaya turut berkata, mahasiswa mestilah memanfaatkan masa berada di universiti sebaiknya dengan mengasah dan menggilap potensi diri yang ada.

Katanya, pelajar yang berkualiti tidak hanya cemerlang dalam akademik sahaja, tetapi mampu menguasai segenap bidang bagi memimpin masyarakat dalam lapangan sebenar.

“Mahasiswa mestilah dapat membentuk kecemerlangan dalam bidang-bidang yang lain, segala bakat dan kemampuan yang ada yang kita ada mestilah kita gilap sungguh-sungguh.
 
Yahaya menerima cenderahati daripada Ruzaidi sambil disaksikan oleh Nur Aina. 

Kita merasa bertanggungjawab, kitalah sebenarnya menjadi golongan yang akan memimpin masyarakat apabila keluar kampus, kita tidak boleh hanya menjadi golongan akademik semata-mata, tetapi kita pasif dalam bidang lain.

Kajian dibuat, mereka yang aktif berpersatuan adalah lebih hebat, mempunyai kepimpinan berbanding mereka yang hanya cemerlang dalam akademik semata-mata,” tambah beliau.


Tag: