Mahasiswa bijak, beradab bentuk masa depan gemilang
SETIU, 16 September – Mahasiswa bijak dan beradab menjadi harapan setiap anggota masyarakat untuk membentuk masa depan yang lebih gemilang.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, negara sememangnya memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berani, jujur, memahami hati nurani dan mementingkan kebajikan rakyat serta bertanggungjawab, malah berkeperibadian mulia sebelum nama meniti kemasyhuran.
Ujarnya, peluang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa menyibukkan diri dengan perkara tidak berfaedah.
“Perkara utama yang perlu tahu khususnya dalam sesi pengajian di universiti adalah niat. Pertamanya mesti niat kerana Allah untuk bawa islam dan kerja islam walaupun yang belajar itu bukan belajar tentang agama tapi belajar kedoktoran, jurutera dan sebagainya,” katanya semasa mengadakan pertemuan dengan bakal mahasiswa DUN Batu Rakit di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit, Kampung Bukit Cempaka baru-baru ini.
Tambah beliau, Islam menuntut umatnya untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara termasuk pendidikan.
“Oleh itu, setiap dari kita ini mesti belajar bersungguh-sungguh dan sampai masa kita mampu untuk bawa orang, masyarakat kepada agama islam yang bersifat syumul.
“Belajar memang kena banyak bersabar, kena bersungguh, kena banyak baca dan jangan ikut perasaan sangat sebab kalau tak, banyak nak main sebab kita bertemu dengan kawan-kawan yang ramai.
“Kita menguasai bidang yang kita belajar itu, bukan semata-mata belajar tunggu masa peperiksaan, ambil sebab nak lulus. Kita mahukan kejayaan yang cemerlang agar kita dapat membangunkan masyarakat pada masa akan datang,” katanya.