Mahasiswa Jordan Terima Kunjungan MB

KUALA TERENGGANU, 13 Mei – Delegasi kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar meneruskan kunjungan bersama mahasiswa Terengganu di luar negara Timur Tengah.

Rombongan tersebut diraikan dalam satu Majlis Ramah Mesra bersama Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA) yang diadakan di Hotel Opal, Amman baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mahasiswa turut menjadi sebahagian yang melakukan perubahan minda terhadap rakyat.

“Dengan usia mahasiswa hari ini, peranan pembinaan tamadun masyarakat hari ini turut menjadi sebahagian daripada tanggungjawab.

“Mahasiswa dan mahasiswi sebagai kelompok anak muda kini tidak lagi dianggap sebagai pelapis generasi akan datang kerana hakikatnya kalian (mahasiswa) juga berhak memberi idea dalam membangunkan negeri dan negara.

“Antara perubahan minda rakyat yang perlu diperhalusi adalah pembangunan sesebuah negeri atau negara bukan sahaja dengan membina bangunan dan infrastruktur sahaja bahkan pembangunan insan turut perlu menjadi keutamaan,” katanya dalam ucapan bersama mahasiswa Jordan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Education Malaysia Jordan, Dr Radzuan Ab Rashid. 

Dalam majlis itu, kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Mahasiswa Terengganu Jordan (PUTRA).      

Terdahulu, kerajaan negeri menyempurnakan pemilikan bangunan 10 tingkat bagi penempatan mahasiswa di Mesir di samping meraikan sambutan Aidilfitri bersama mahasiswa Terengganu luar negara di beberapa negara.

 


Tag: