lightning-solid
Berita :
Mahasiswa UMT Wakili Malaysia ke GSLS 2026 di Jepun
Mahasiswa UMT Wakili Malaysia ke GSLS 2026 di Jepun
Mastura Jamal Din
1 hari yang lepas
130

KUALA TERENGGANU, 8 Januari -  Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengukuhkan kedudukannya di persada antarabangsa apabila empat orang mahasiswa universiti itu terpilih menyertai Global Student Leadership Summit (GSLS) 2026 yang berlangsung di Universiti Tsukuba, Ibaraki, Jepun selama enam hari bermula 8 Januari ini.

Penyertaan dalam persidangan kepimpinan pelajar bertaraf global itu membuktikan komitmen UMT dalam melahirkan graduan berdaya saing serta mampu menyumbang idea bernilai dalam perbincangan isu global merangkumi kepimpinan, teknologi dan pembangunan mampan.

Salah seorang peserta, Qistina Wafiyyah Shahrul Nizam dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik UMT berkata, peluang menyertai GSLS 2026 membuka ruang pembelajaran di luar bilik kuliah serta memperkukuh keyakinan diri dalam menyampaikan idea di peringkat antarabangsa.

“Penyertaan ini memberi peluang kepada saya membentangkan idea berkaitan Modelling Campus-Wide Cashless Saturation to Foster Student Autonomy and Digital Financial Literacy dalam konteks global, selain memahami cabaran kepimpinan masa depan daripada perspektif antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, pengalaman bekerjasama dengan peserta daripada pelbagai latar belakang negara turut mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kerja berpasukan dalam persekitaran rentas budaya.

Penyertaan mahasiswa UMT dalam GSLS 2026 selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyumbang idea inovatif dalam menangani cabaran global.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, penglibatan pelajar dalam program antarabangsa merupakan elemen penting dalam pembinaan jaringan global dan membuka peluang kerjasama akademik pada masa hadapan.

“Pengalaman antarabangsa ini membentuk jati diri pelajar yang lebih yakin, berdikari dan berfikiran global. Mahasiswa juga berperanan sebagai duta kecil negara yang membawa imej positif universiti serta Malaysia di persada dunia,” katanya.

GSLS 2026 yang bertemakan “Nurturing Future Global Leader” menumpukan kepada enam teras utama iaitu Tindakan Iklim dan Kemampanan, Pemerkasaan Belia dan Penglibatan Sivik, Kesihatan dan Kesejahteraan Global, Kecerdasan Buatan dan Teknologi Baharu untuk Impak Sosial, Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Kemahiran Masa Depan serta Ekonomi Digital dan Keusahawanan Belia.


Tag :

Artikel Berkaitan