KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Mahkamah Pilihan Raya hari ini menetapkan 12 Februari bagi tarikh keputusan terhadap bantahan awal yang dikemukan PAS sebagai responden dalam berdepan petisyen UMNO bagi parlimen Marang.
Peguam yang mewakili diwakili Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kedua-dua pihak diberi masa sehingga 6 Februari bagi memasukkan hujah tambahan terhadap tuduhan ini.
“Hari ini adalah hari pendengaran untuk bantahan awal apabila petisyen ini dimasukkan terhadap Ahli Parlimen Marang bagi mempersoalkan beberapa perkara berkaitan persoalan undang-undang dan sebagainya.
“Jadi setelah mendengar dari pihak kami sebagai responden dan juga hujahan balas daripada pihak pempetisyen, mahkamah menetapkan untuk kedua pihak memasukkan hujah tambahan dalam perkara tertentu sebelum 6 Februari ini.
“Dan mahkamah akan membuat keputusan sama ada bantahan kami ini diterima atau tidak pada 12 Februari sama ada perbicaraan akan diteruskan atau tidak,” katanya kepada media selepas selesai prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Terengganu, di sini hari ini.
Sesi pendengaran hujah bantahan awal bermula pada jam 11 pagi di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Hassan Abdul Ghani.
Terdahulu, UMNO Terengganu menfailkan petisyen pilihan raya bagi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 terhadap PAS di tiga kawasan di negeri ini melibatkan Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.