Mahu Anjur Festival Kolek Ke Peringkat Kebangsaan- Ariffin




KUALA TERENGGANU, 29 September- Kerajaan negeri bercadang menaiktaraf penganjuran Festival Kolek Drawbridge Terengganu ke peringkat kebangsaan supaya penglibatan peserta dalam pertandingan itu lebih ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, langkah itu sekaligus dapat menarik minat lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Katanya, dia yakin penganjuran itu kelak mendapat sambutan berikutan Terengganu terkenal dengan air sungai yang tenang dan luas selain berlatarbelakangan  jambatan angkat atau ‘draw-bridge’
“Saya akan berbincang perihal ini dengan pihak berkaitan termasuk Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) dan Tourism Terengganu untuk penganjuran pada masa akan datang.

“Kerajaan perlu mengambil peluang kerana pertandingan perahu kolek tidak dianjurkan di negeri lain kecuali di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Festival Kolek Drawbridge Terengganu di Pulau Duyung, di sini.

Program itu menampilkan 9 pasukan  bagi tiga kategori layak ke peringkat akhir.  Dua pasukan Kuala Terengganu masing-masing menjuari kategori jabatan dan MPKK. Manakala pasukan Marang berjaya menduduki tempat kedua dan Hulu Terengganu pula  tempat ketiga bagi kategori jabatan.


 Arifin turut memberitahu, pertandingan tersebut bukan sekadar melonjak martabatkan seni warisan maritim malahan turut membantu pemuliharaan jenis pengangkutan air seumpama perahu seperti bedar, kolek, sekoci, dan payang agar terus menjadi satu kesinambungan dalam budaya masa kini.

“Lumba perahu merupakan satu aktiviti yang cukup sinonim dalam budaya maritim di seluruh dunia contohnya lumba perahu naga atau dragon boat menjadi satu festival yang tersohor dan tercatat dalam event penganjur dunia,”katanya


Tag: