SERDANG, 16 Mac - Majlis berbuka puasa bersama anak-anak Terengganu di perantauan berlangsung dengan penuh kemeriahan dan bermakna, sekali gus menjadi platform untuk kepimpinan negeri mendekati rakyat walau di mana mereka berada.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu telah menjadi acara tahunan setiap kali Ramadan bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan perantau.
"Ia memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung dengan anak-anak Terengganu yang berada di luar negeri, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan silaturahim.
"Selain itu, mereka juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuhkan jalinan ukhuwah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, yang diadakan di Dewan D, MAEPS Serdang, semalam.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri turut berpesan kepada para perantau yang bakal pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati ketika memandu.
"Pastikan perjalanan pulang disertai dengan kegembiraan dan kembali semula ke ibu kota dengan penuh semangat," ujarnya.