Maju, Berkat, Sejahtera Pacu Dasar Inklusif Terengganu - MB
Terengganu mempunyai sejarah panjang yang mengikat akar pemikiran rakyatnya, bermula dengan penemuan Batu Bersurat yang tercatat 1303 sehingga kini.
Islam menjadi rantaian sejarah yang mengikat sosiobudaya kehidupan rakyat Terengganu, termasuk memberikan pengaruh kepada pemikiran politik rakyat.
Maka, menjadi tanggungjawab kerajaan yang mempunyai lebih 95 peratus rakyatnya adalah orang Melayu-Islam, untuk meraikan dan menjadikan Islam sebagai kearifan tempatan, terutama dalam membangunkan dasar pentadbiran kerajaan yang sesuai dengan kehendak dan pautan sejarah panjang negeri Darul Iman ini.
Disebabkan itu, dasar dan perancangan teliti perlu dibangunkan untuk membawa Terengganu dan rakyatnya mendapat kebaikan dan kesejahteraan hidup, serta mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT, sebagai mana firman-Nya :
"Jikalau penduduk kota-kota beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkat daripada langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (surah Al-A'raf, ayat 96)
Terdapat tiga dasar kerajaan negeri yang dibangunkan sebagai asas untuk kemajuan Terengganu dan kesejahteraan rakyat. Tiga dasar itu terangkum dalam tiga perkataan iaitu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Maju yang ingin dicapai membabitkan tiga aspek iaitu Pembangunan Infrastruktur dan Ekonomi, Pembangunan Modal Insan dan Kelestarian Pembangunan.
Sementara itu, terdapat dua aspek penting bagi dasar Berkat untuk Terengganu iaitu Prinsip Islam dan Penghayatan Takwa yang menjadi asas kepada pembangunan negeri.
Dasar Sejahtera pula menekankan tiga konsep utama iaitu keselamatan, berkebajikan dan kemakmuran.
Dalam usaha menjayakan dasar ini, kita memperkenalkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 sebagai pelan pembangunan dan perancangan yang lebih holistik serta komprehensif kepada rakyat.
Perkara yang lebih penting selain pembangunan dasar adalah aspek pelaksanaan dasar yang sudah digariskan itu.
Sebagai contoh, dalam aspek pembangunan ekonomi dan infrastruktur, kerajaan negeri melihat serta meneliti projek yang boleh menjadi pembawa perubahan dan pemangkin kepada ekonomi rakyat serta negeri.
Oleh itu, kerajaan negeri meneruskan Projek Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) membabitkan pembangunan di Muara Sungai Terengganu bagi mengembangkan sektor ekonomi dan pelancongan.
Pembangunan membabitkan anggaran 72.8 hektar di muara utara dan selatan Sungai Terengganu ini sedang rancak berjalan.
Begitu juga dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan bagi menaik taraf infrastruktur pengangkutan melalui Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu dengan jajaran sepanjang 250 kilometer (km).
Kita menjangka sebanyak 23,000 peluang pekerjaan akan disediakan melalui pembinaan dan pembangunan menyeluruh di sepanjang ECRL.
Pada masa sama, pembangunan modal insan harus digerakkan secara bersama dengan pembangunan fizikal negeri.
Jadi, pendidikan menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam membangunkan sistem pendidikan formal bermula daripada prasekolah, Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) sehinggalah penubuhan Kolej Universiti Quran Terengganu.
Penumpuan juga diberikan kepada pendidikan kemahiran berasaskan Pendidikan dan Latihan Kemahiran dan Teknikal (TVET), yang kini menjadi keperluan dalam pasaran kerja.
Kolej yang berada di bawah kerajaan negeri diperkasakan dengan kursus berkaitan TVET supaya anak Terengganu mampu memenuhi pasaran kerja berasaskan TVET ini.
Di samping itu, kelestarian pembangunan amat ditekankan dalam pembangunan negeri. Kerajaan negeri mewartakan dua Taman Negeri iaitu 30,000 hektar hutan sebagai Taman Negeri Kenyir dan 432 hektar tanah bencah sebagai Setiu Wetland bagi memelihara alam semula jadi.
Dalam soal menjamin keberkatan, suatu konsep dan dasar yang tiada pada pemikiran dan agama lain, yang ada pada Islam sahaja. Dasar ini ditekankan supaya kerajaan negeri sentiasa meletakkan syariat Islam sebagai rujukan dalam setiap keputusan dan pelaksanaan keputusan.
Lantaran itu, kerajaan negeri membangunkan satu garis panduan patuh syariah terutamanya dalam sektor hiburan, kebudayaan, sukan dan pelancongan.
Garis panduan ini bukan untuk menghalang, namun sebagai pedoman supaya aktiviti dijalankan berlandaskan syariah dan budaya orang timur.
Perkara paling utama kepada kerajaan adalah kesejahteraan dan kebajikan rakyat, kerajaan yang menjaga kebajikan akan disayangi rakyat.
Namun, konsep ini tidak boleh disalah tafsir sehingga menyebabkan rakyat tidak dapat berdikari dan hanya menunggu bantuan kerajaan.
Oleh itu, konsep berkebajikan yang berasaskan kepada falsafah 'berikan joran bukan ikan' menjadi pendekatan pihak kerajaan membangunkan potensi dan menyediakan fasiliti untuk rakyat mendapatkan pendapatan dengan usaha sendiri.
Kerajaan pula bertindak sebagai pemantau dan pendorong melonjakkan potensi serta ekonomi rakyat.
Sebagai contoh, kerajaan negeri menyediakan bantuan berbentuk produktif seperti Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS), Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dan pelbagai bantuan biasiswa pengajian sama ada formal mahupun pendidikan kemahiran.
Ini suatu bantuan yang membangunkan potensi rakyat untuk lebih berdaya saing.
Akhirnya, dasar yang baik ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa kerjasama semua pihak bermula pada peringkat kampung, mukim, daerah dan juga negeri.
Saya mengharapkan dengan kerjasama semua, Terengganu Maju Berkat Sejahtera dapat kita realisasikan.
Penulis adalah Menteri Besar Terengganu