Makan Durian Di Kebun Konsep Agro Tourism Terengganu

MARANG, 6 September - Kerajaan Terengganu menggalakkan pengusaha pertanian negeri itu menghidupkan konsep Agro Tourism dengan menjemput orang ramai makan durian dalam kebun.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, konsep itu bertujuan supaya orang ramai menikmati durian segar dari kebun di samping menghidupkan aktiviti pelancongan pertanian terutama di musim buah-buahan di negeri itu.

Katanya, aktiviti itu membolehkan rakyat Malaysia dari seluruh negara berkunjung ke Terengganu untuk menikmati rasa durian berbagai jenis termasuk durian premium menjadikan Terengganu antara destinasi utama penggemar durian.

"Saya menyeru orang luar dan dalam negeri Terengganu termasuk pelancong tempatan dan luar negeri datang beramai-ramai ke Mizi Agro Farm di Kampung Lubuk Batu Marang, rasa sendiri, tengok suasana dan makan durian dalam kebun," katanya ketika ditemui di kebun Mizi Egro Farm seluas lapan ekar di sini semalam.

Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata pelancong begitu ramai datang ke Terengganu di hari minggu dan musim cuti sekolah sekaligus berpeluang melawat kebun tersebut sambil makan durian di situ.

Sementara itu pemilik kebun durian itu Mohd Tarmizi Mamat berkata kebun duriannya mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat Malaysia dari seluruh negara yang berkunjung sambil makan durian di kebun di musim cuti sekolah baru-baru ini.


Tag: