Mangsa Lemas Ditemui Terapung
Oleh: Muhd Afiq Zohir
BESUT, 16 Januari - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Jerteh, berhampiran Kampung Dengir, Kuala Besut, dekat sini, pada Isnin lalu ditemui terapung di permukaan sungai berkenaan pada pukul 8.50 pagi ini
Susulan penemuan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pasukan penyelamat yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta dibantu penduduk kampung ditamatkan kira-kira jam 9 pagi.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat mencari mangsa sehingga berjaya menemui mayatnya pagi ini.
"Terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat bagi menjayakan operasi kali ini.
"Kita mengharapkan ahli keluarga mangsa tabah dengan ujian yang melanda, semoga semuanya baik," katanya ketika meninjau bilik operasi SAR, di Sungai Tok Raja, Jerteh, di sini.
Mangsa yang berasal dari Kampung Telok Alor Lintah, Jerteh berusia 46 tahun.