• 25 Okt 2024 | 22 Rabiul Akhir 1446

Mangsa Ribut, Hujan Batu Kemaman Ditempatkan di PPS

KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - Seramai 18 mangsa ribut dan hujan batu yang berlaku di daerah Kemaman semalam ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sivik Kampung Gong Pauh.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim memaklumkan bahawa mangsa terlibat adalah daripada tujuh keluarga, membabitkan lapan lelaki, enam wanita dan empat kanak-kanak lelaki.

"Mangsa yang dipindahkan ke PPS turut menerima bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita bantu segera dan mangsa yang terlibat kampung yang berlainan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada program Terbang Ke Kuala Lumpur Bersama Anak Yatim Piatu Negeri Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rumah yang terjejas melebihi 200 buah rumah dan tujuh keluarga dipindah ke PPS kerana rumah rosak teruk.

"Selepas keadaan pulih, mereka akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Setakat ini mereka akan tinggal di PPS sehingga ada penempatan yang disediakan," jelasnya.

Beliau menambah, SMA Al-Falah adalah premis paling teruk terjejas kerana hampir 80 peratus bumbung di sekolah itu diterbangkan angin.

Ujar Maliaman, sebanyak tujuh sekolah mengalami kerosakan teruk akibat ribut dan hujan batu di Kemaman pada petang Rabu.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang lelaki patah kaki kanan kerana dihempap bumbung sebuah wakaf yang runtuh berdekatan Pantai Teluk Mak Nik.

 


 


 


Tag: